IPOH - Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak seharusnya membuat sebarang tuntutan secara berlebihan hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Akademi Penyelidikan LGBT Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, ada antara tuntutan yang dibuat kumpulan itu tidak disenangi kerana menimbulkan pelbagai implikasi.

Menurutnya, tiada sebarang sekatan mahupun tekanan dikenakan kepada mana-mana pihak yang mahu memenuhi hak LGBT, asalkan tuntutan itu tidak melampau.

"Seperti isu tandas wanita, bila mereka masuk tandas wanita, kita tidak tahu siapa penyamar atau betul-betul mak nyah...adakah kita boleh pastikan betul-betul.

"Malah adakah hak-hak wanita rasa aman dalam tandas itu, itu antara perkara kita kena halusi," katanya ketika ditemui pemberita sempena Wacana Kesejagatan Ummah 2018 di Dewan Bandaran, semalam.

Dr Rafidah berkata,  dibawah Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), ada beberapa perkara dipersetujui antaranya tiada diskriminasi terhadap golongan LGBT ini selagi tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang.

Katanya, bukan sahaja tidak boleh dizalimi, malah dalam soal akses kesihatan dan peluang pekerjaan juga, golongan ini bebas mendapatkan hak yang sama seperti orang lain.

"Asalkan mematuhi kod berpakaian ditetapkan majikan.

"Jadi tidak perlulah datang dengan kebaya, skirt dan sebagainya, tak perlu tonjolkan identiti transgender jika pekerjaan itu lebih penting.

"Saya banyak jumpa jurusolek artis yang ada kecenderungan ini, tetapi mereka tidak berlebih-lebihan membuat masyarakat resah," katanya.