IPOH - Dua lelaki dirakam memukul dan membaling objek kepada seorang pekerja stesen minyak di Sungkai, dekat sini pada 6 Oktober lalu, diminta untuk segera menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua suspek termasuk salah seorang berbadan gempal, dirakam dalam klip video berdurasi 42 saat yang tular itu dalam media sosial, baru-baru ini.

“Kedua-dua saksi atau sesiapa yang mengenali saksi berkenaan boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Asisten Superintendan Ong Chin Yong di talian 012-2013048,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam laporan polis yang turut ditularkan, mangsa berusia 24 tahun dan tinggal di Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai mendakwa seorang daripada kumpulan lelaki bermotosikal mahu mengisi minyak petrol, namun tidak dimaklumkan jenis minyak yang ingin diisi.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Sungkai pada 6 Oktober lalu itu menyatakan, suspek lelaki bermotosikal itu didakwa tidak memberitahu jenis minyak petrol yang ingin diisi menyebabkan mangsa terus mengisi minyak RON95 ke dalam kenderaannya.

“Sejurus menyedari motosikalnya tidak diisi minyak RON97, pemilik motosikal terbabit kemudiannya tidak berpuas hati dengan saya dan mendakwa saya cuai. Saya kemudiannya memohon maaf, namun kumpulan bermotosikal bersama lelaki terbabit segera masuk kembali ke kaunter dan menarik saya keluar.

“Sekali lagi saya mohon maaf namun mereka bukan sahaja tidak mengendahkan, malah turut memukul dan membaling saya dengan tin minuman sehingga lebam muka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail mengesahkan kejadian dan menegaskan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja stesen minyak lebam muka akibat dipukul]

Video berdurasi 42 saat itu tular di laman sosial Facebook sejak semalam menunjukkan seorang pekerja stesen minyak ditarik keluar sebelum dipukul oleh sekumpulan penunggang motosikal.