IPOH – Seorang lelaki kini hidup dalam kebimbangan apabila diganggu sindiket ah long meskipun dia tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana ceti haram.

Wong Chiew Kwai, 41, berkata, kemuncak gangguan itu berlaku April lalu apabila kediaman rumah keluarganya di Lahat di kunci bersama notis amaran yang meminta menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya.

“Saya tidak pernah membuat sebarang pinjaman kepada mana-mana ah long dan tiada keperluan terdesak yang memerlukan duit. Saya masih bekerja dan mampu menyara keluarga.

“Saya ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari individu yang tidak dikenali meminta membayar pinjaman RM1,000 tapi saya tidak peduli kerana tidak pernah berhutang dengan sesiapa,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Negeri di Wisma MCA di sini, hari ini.

Menurutnya, gangguan itu berterusan sehingga rumahnya di Lahat didatangi ah long bagi menuntut hutang berkenaan beserta denda RM2,000 pada Julai 2016.

“Pada mulanya ah long gagal menunjukkan bukti yang saya ada meminjam wang terbabit namun, mereka datang semula pada waktu malam dan menunjukkan terdapat dua transaksi ke dalam akaun berjumlah RM1,400 dan RM1,180 pada 21 dan 23 Jun 2016.

“Semakan saya lakukan mendapati akaun bank yang ditunjukkan oleh ah long terbabit sebenarnya tidak wujud. Gangguan ini hanya berlaku pada tahun 2016 sahaja sehinggalah yang terbaharu April lalu,” katanya.

Chiew Kwai berkata, sepanjang tempoh tersebut, dia mendapati ada transaksi kemasukan dan pengeluaran wang berjumlah RM13,000 dalam akaun bank tanpa pengetahuannya.

“Sehingga kini, saya masih menunggu laporan daripada pihak bank berhubung transaksi itu yang berlaku pada Mei dan Jun 2016 yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket itu.

“Saya mengesyaki ada pihak menggunakan maklumat peribadi saya untuk pinjam wang dari ah long. Saya tidak pernah kehilangan Mykad atau kad bank tetapi pernah membuat salinan kad pengenalan dan penyata bank ketika bekerja di sebuah syarikat pada tahun 2015 dan berhenti setahun kemudian,” katanya.

Katanya, sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat berhubung gangguan yang diterimanya sejak Mei 2016.