BATU GAJAH – Orang ramai khususnya yang mempunyai ahli keluarga ditahan polis diminta berwaspada dengan taktik penjenayah menyamar sebagai polis pengiring meminta wang ikat jamin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ia berlaku apabila mangsa membuat laporan polis selepas anaknya tidak dilepaskan walaupun wang yang diminta diberikan.

Menurutnya, mangsa memberikan wang berjumlah RM5,000 dengan memasukkan ke dalam akaun setelah diminta seorang lelaki yang menyamar sebagai polis pengiring dikenali sebagai ‘Inspektor Saiful’.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berada di mahkamah pada 20 September lalu. Mangsa telah depositkan wang dengan dua transaksi ke dalam akaun atas nama M Rajmanickam,” katanya.

Shaharon Anuar memaklumkan, siasatan awal mendapati anak mangsa berusia 17 tahun ditahan kerana terlibat dalam kes samun di Kampar.

“Pada hari kejadian, anak mangsa dibawa ke mahkamah untuk tujuan reman dan bukan bagi tujuan ikat jamin seperti mana yang diberitahu oleh suspek.,” katanya.

Shaharon Anuar berkata, pihaknya memburu dua suspek yang masih bebas dan dikenal pasti berdasarkan maklumat akaun dan talian telefon yang digunakan suspek ketika menghubungi mangsa.

“Jika sesiapa yang mempunyai maklumat sila hubungi bilik gerakan IPD di talian 05-3664322 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Suhadi di talian 05-3629222 (sambungan 9083) serta 012-5217752.

“Jika ada ahli keluarga dalam siasatan polis, boleh datang ke balai polis untuk pastikan kesahihan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shaharon Anuar kecewa apabila teman lelaki menjadi punca seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang cuba terjun dari bangunan Pusat Pemulihan Akhlak Taman Seri Putri di sini, Isnin lalu.

“Rakan mangsa memberitahu remaja berkenaan cuba membunuh diri selepas teman lelakinya jarang melawatnya di pusat pemulihan itu. Ketika menyelamat, remaja itu sedang telefon teman lelakinya,” katanya.

Katanya, remaja berkenaan masih mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun disebabkan mengalami tekanan perasaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :