KAMPAR - Seorang lelaki kurang siuman ditahan polis selepas didapati bertindak agresif dalam sebuah klinik di Tanjung Tualang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung tindakan lelaki berusia 50-an itu yang mengamuk dan menendang kereta orang awam di kawasan terbabit.

“Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya setelah berjaya ditenteramkan. Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan pernah mendapatkan tujuh kali rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

“Kita tidak mengetahui punca sebenar lelaki berkenaan mengamuk namun, dia dibawa ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan susulan,” katanya, semalam.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kemusnahan harta benda dilaporkan setakat ini.