BUKIT GANTANG - Seorang lelaki berusia 38 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar rumah untuk mencari asam gelugor di kaki bukit Kampung Senduk Ulu, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Shah Rizal Salleh dari Jalan Baru, Changkat Jering didakwa telah keluar rumah kira-kira jam 3 petang Jumaat lalu tanpa memaklumkan kepada ibunya, Hasnah Zulkapli.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, difahamkan selepas itu, mangsa mengajak kawannya, namun rakannya enggan ikut bersama menyebabkan mangsa pergi sendirian.

"Kali terakhir mangsa dipercayai menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran AEF 4238.

"Mangsa juga dilihat hanya berpakian baju T lengan pendek warna gelap dan berseluar warna hitam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafeel berkata, sebaik menerima laporan daripada pihak polis, sepasukan anggota dengan kekutan seramai 23 anggota dan turut dibantu lima anggota APM, empat polis dan orang kampung 10 orang telah dilancarkan gerakan mencari mangsa seawal jam 9.30 pagi tadi.

"Usaha awal kita membuat pencarian dalam lingkungan radius antara dua hingga tiga kilometer dari lokasi mangsa dilapor hilang," katanya.

Mengulas lanjut, Rafeel berkata, sekitar jam 2.40 petang, pencarian kali kedua diteruskan dengan kekuatan seramai 30 anggota bomba dan 31 lagi melibatkan polis, APM dan orang kampung.

"Kali ini kawasan pencarian diluaskan lagi kepada tiga hingga empat kilometer, namun tetap gagal menemui sebarang jejak mangsa termasuk motosikal yang digunakan.

"Sehingga jam 5 petang usaha pencarian ditangguhkan untuk sementara waktu berikutan cuaca semakin gelap," katanya.