PARIT BUNTAR - Siapa sangka, legenda hoki negara, Mohamad Abdul Hadi yang suatu ketika dahulu mengetuai skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Barcelona 1992, kini beralih arah terbabit dalam sukan petanque.

Lebih mengejutkan, pembabitan Mohamad atau lebih dikenali ‘Mad Hoki’ dalam sukan itu bukan sekadar suka-suka.

Malahan beliau merupakan antara individu bertanggungjawab membangunkan sukan petanque di daerah Kerian sehingga terpilih menggalas jawatan Pengerusi Persatuan Petanque Daerah Kerian.

Mohamad berkata, faktor usia semakin meningkat menyebabkannya memilih untuk menceburi sukan lain yang lebih sesuai dan santai.

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah terjebak dalam sukan golf, namun apabila melihat sukan petanque lebih menyeronokkan dan bajet rendah, beliau tertarik untuk mencuba.

“Setelah terlibat secara serius, saya menyedari sukan petanque mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan di peringkat luar bandar.

“Bersama dengan beberapa rakan seperjuangan lain, kami mengambil inisiatif untuk mengaktifkan kembali Persatuan Petanque Daerah Kerian setelah beberapa tahun sunyi di samping menganjurkan beberapa kejohanan termasuk  Kerian Open.

“Selain itu, kami turut mengadakan beberapa kejohanan lain seperti pertandingan ‘monthly medal’ yang akan dianjurkan pada tiap-tiap bulan dan kejohanan ‘Grand Final’ pada November hadapan,” katanya kepada media pada majlis penyerahan piala pertandingan Monthly Medal  anjuran Persatuan Petanque Daerah Kerian di Taman Desa Indah di sini semalam.

Mohamad berkata, sebenarnya sukan petanque satu jenis sukan yang mampu diceburi semua peringkat umur, bermula usia remaja sehingga warga emas.

Menurutnya, dengan kehadiran jurulatih pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Mohd Noor Hassan, 51, di dalam persatuan, pihaknya berharap daerah Kerian dapat melahirkan pemain petanque berkaliber untuk mewakili Perak dan negara suatu hari nanti.

Semakin dapat sambutan

Sementara itu, Mohd Noor yang juga setiausaha persatuan mendedahkan seramai 50 pemain aktif menceburi sukan petanque di daerah Kerian.

Menurutnya, kebanyakan pemain itu terdiri daripada guru serta golongan pesara termasuk seorang warga emas berusia 72 tahun.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sukan petanque kini semakin popular dalam kalangan penduduk daerah Kerian dengan gelanggang sukan itu kini semakin banyak terdapat di sekolah-sekolah.

“Pihak persatuan kini bertanggungjawab untuk menubuhkan sebuah akademi sukan petanque untuk diketengahkan bakat muda ke peringkat lebih tinggi.

“Justeru, kita menggalakkan penyertaan ramai golongan muda dari daerah Kerian untuk dilatih pihak kami bagi membolehkan hasrat melahirkan ramai pemain berkaliber akan dapat dicapai,” katanya.

Mohamad (kiri) sempat memberikan tips permainan petanque kepada peserta paling veteran hanya dikenali Pak Andak yang berusia 72 tahun.

Mohd Noor berkata, keistimewaan sukan petanque adalah pemain tidak memerlukan modal besar untuk membeli peralatan permainannya.

Menurutnya, permainan sukan petanque tidak memerlukan permukaan luas untuk dijadikan gelanggang, malahan sebuah padang petanque hanya menggunakan batu kerikil dan pasir sahaja.

“Keluasan padang petanque hanya melibatkan ukuran 4x15 meter persegi, berbanding keluasan gelanggang boling padang yang lebih luas dan perlu menggunakan rumput.

“Cuma ciri persamaan sukan petanque dan boling padang adalah dari aspek kaedah permainan apabila kedua-dua sukan menggunakan jek dan bola besi sebagai peralatan,” katanya.

Modal sendiri

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Petanque Daerah Kerian, Zuraidi Zakaria,52, sanggup mengeluarkan modal sendiri RM3,000 semata-mata untuk membina gelanggang petanque sendiri di kawasan perumahan Taman Desa Indah, di sini.

“Saya tidak menyesal keluar modal sendiri untuk bina gelanggang sukan saya minati dan syukur Alhamdulillah, gelanggang itu kini meriah dengan penglibatan ramai pemain petanque dari seluruh daerah Kerian,” katanya.