TANJUNG MALIM - Latihan pengurusan bencana berskala besar akan ditingkatkan menerusi senario lebih mencabar bagi menguji tahap kesiapsiagaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

Timbalan Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, langkah itu bagi memastikan kaedah menyelamat yang lebih sistematik dapat dipraktikkan ketika berdepan insiden yang tidak dijangka.

"Setiap tahun kita merangka senario-senario berlainan bagi memberi pengalaman berbeza kepada anggoga, dari situ mereka dapat uji tahap kesediaan mental dan fizikal menghadapi situasi berat melibatkan mangsa yang ramai, desakan keluarga dan risiko-risiko lain," katanya.

Beliau ditemui pada latihan pengurusan bencana di landasan kereta api berhampiran Stesen Keretapi Behrang, awal pagi tadi.

Latihan

Latihan melibatkan 180 anggota penyelamat dan mangsa itu berlatar belakangkan sebuah perkhidmatan tren elektrik (ETS) membawa 40 penumpang melanggar dua kereta yang terbabas ke landasan.

Dua kereta berkenaan dipandu secara melulu sebelum terbabas dan terjunam dari laluan bertingkat ke landasan, menyebabkan sebuah daripadanya terbakar sementara ETS yang dalam perjalanan dari arah Utara ke KL Sentral itu berjaya dihentikan 300 meter dari lokasi kemalangan.

Dalam situasi latihan yang diadakan jam 1 pagi itu, 10 penumpang ETS termasuk seorang wanita sarat mengandung parah, manakala selebihnya cedera ringan.

Sayani berkata, senario seumpama itu juga dapat memberi gambaran lebih tepat mengenai pengurusan logistik seperti kesediaan peralatan, tahap keberkesanan komunikasi dan kolobrasi perancangan strategik yang diatur bersama  jabatan lain.

"Apa yang perlu dilakukan dahulu, berapa banyak peralatan perlu digerakkan...semua ini ruang untuk kita uji keberkesanannya dan setiap kekuatan atau kelemahan yang dikenal pasti dalam jabatan, akan diperbaiki," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Wilayah Utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Rasul Yahaya berkata, Perak merupakan laluan yang mempunyai  jadual tren padat dengan kekerapan antara 15 ke 30 minit setiap satu, selain membawa penumpang, landasan ini juga digunakan untuk perkhidmatan kargo.

Katanya, beberapa laluan berisiko telah dikenalpasti antaranya terowong di Bukit Berapit dan Bukit Larut serta landasan merentasi tasik di Bukit Merah.

"Sebagai syarikat pengangkutan utama yang membawa ribuan nyawa setiap hari, risiko begini memang selalu ada.

"Prosedur operasi standard  KTMB hanya di peringkat dalaman sahaja, bagi kerja menyelamat memang kita mengharapkan bantuan agensi yang cekap dan berkesan seperti ini," katanya.

Landasan yang dijadikan lokasi latihan kali ini berisiko tinggi kerana berada di kawasan votan tinggi iaitu 25,000 kV yang boleh menyebabkan renjatan berlaku.

Latihan pengurusan bencana yang berakhir jam 4 pagi itu turut melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Jabatan Kesihatan Perak, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Meteorologi Perak.