SELAMA - Daerah Selama mempunyai keistimewaan tersendiri di sebalik latar belakang geografinya yang dikelilingi bukit dan gunung.

Memiliki beberapa kawasan air terjun menjadikan Selama menjadi tarikan pelancong untuk bertandang ke sini.

Antara lokasi pelancongan menarik di daerah ini adalah di Lata Damak yang menjadi lokasi tumpuan pendaki untuk ke Gua Kelawar.

Bagi Pengerusi Kelab Pemuda Kampung Damak (KPKD), Hasimy Hashim, kawasan tersebut sebelum ini tidak dibuka kepada orang awam tetapi terkenal dalam kalangan penduduk kampung.

Bagaimanapun, sejak Gua Kelawar dibuka sejak setahun lalu kawasan itu mula dikunjungi pelancong terutama pendaki.

"Untuk ke Gua Kelawar, ia mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam dengan melalui trek sedia ada.

"Menariknya trek ini bukan sahaja di laluan kering tetapi turut akan turun di laluan berair melalui gelongsor sungai. Biasanya mereka yang nak ikut kita akan minta bawa pakaian tambahan sebab pulang mesti basah," katanya.

Beliau berkata, pendaki atau pelancongan akan merentasi dua gua iaitu Gua Bintang Hijau dan Gua Kelawar menerusi laluan sehala.

Katanya, setakat ini peserta paling ramai yang pernah dibawa ke Gua Kelawar itu seramai 70 orang.

Keindahan air terjun di Lata Damak yang menjadi tumpuan pelancong.

Beliau berkata, pendaki akan diiringi penunjuk arah terlatih yang merupakan ahli-ahli KPKD bagi memastikan mereka tiba ke destinasi dan pulang dengan selamat.

Katanya, menarik di dalam Gua Kelawar itu, pendaki atau pelancong dapat melihat beberapa spesies kelawar di dalam gua tersebut.

Malah menurutnya, jika bernasib baik mereka boleh melihat ular berwarna putih yang jarang ditemui.

Air terjun Lata Damak yang mempesonakan

Bagi mereka yang tidak berminat untuk mendaki ke Gua Kelawar, air terjun Lata Damak pastinya memberi keterujaan untuk mandi-manda di kawasan tersebut.

Setiap kali hujung minggu, kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancong bersama keluarga untuk berkelah.

Keindahan dan kejernihan air sungai di situ menggambarkan betapa khazanah alam flora dan fauna di situ dipelihara.

Setiausaha Majlis Daerah Selama (MDS), Mohd Shah Nizam Abdul Aziz berkata, pihaknya melihat daerah Selama mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan khususnya berkaitan alam semula jadi.

Katanya, terdapat banyak kawasan-kawasan rekreasi dan perkelahan yang boleh dikunjungi kerana sebelum ini tidak ramai yang mengetahuinya.

"Kita melihat kekuatan Selama ini adalah keindahan alam semula jadi selain beberapa tempat bersejarah.

"Tempat-tempat ini sangat berpotensi untuk menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara," katanya.

Pendaki boleh melihat secara dekat kelawar di gua tersebut.

Promosikan lokasi

Mohd Shah Nizam berkata, MDS sedang mempergiatkan lagi usaha promosi tempat-tempat menarik di Selama termasuklah Lata Damak dan Gua Kelawar ini.

Katanya, antara usaha yang telah dibuat ada memasang papan tanda ke lokasi pelancongan ini.

"Sebenarnya, dari semasa ke semasa kita berusaha mempromosikan tempat-tempat pelancongan ini. Selain papan tanda, kita juga membuat hebahan melalui edaran risalah dan menggunakan media sosial.

"Pada masa sama, sokongan penduduk di Selama juga amat baik dalam usaha mempromosikan tempat-tempat ini," katanya.

Beliau berkata, kehadiran lebih ramai pelancong ke tempat-tempat menarik di sekitar Selama ini akan mampu melonjakkan ekonomi penduduk.

Katanya, penduduk di daerah itu perlu mengambil peluang dengan memperkenalkan produk-produk masing-masing seperti makanan, kraf dan sebagainya kepada pelancong.

Mohd Shah Nizam berkata, menariknya lagi jika melancong di Selama, kos penginapan dan keperluan lain amat berpatutan serta menjimatkan.

Menurutnya, pihak MDS turut menawarkan pakej menarik termasuk penginapan di Selama Inn kepada sesiapa yang berminat.