IPOH - Lembaga Air Perak (LAP) mengumumkan bayaran bonus sebanyak dua bulan setengah kepada 1,100 kakitangannya sebelum 25 Disember ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian bonus tersebut melibatkan peruntukkan sebanyak sebanyak RM6.7 juta selepas LAP berjaya mencatatkan peningkatan jualan air sebanyak RM285.6 juta sehingga 31 Oktober 2018 berbanding RM279.1 juta bagi tempoh masa sama tahun lalu.

"Pemberian bonus sebanyak dua bulan setengah ini akan dibayar sebelum Krismas ini dan pemberian ini diberikan atas prestasi kerja kakitangan LAP yang berjaya mencatatkan keuntungan.

"Saya juga berharap agar kakitangan LAP yang menerima bonus dua bulan setengah ini sentiasa mengingatkan golongan yang berada dalam keadaan lebih susah daripada mereka dan memberi sedikit sumbangan kepada golongan berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat LAP Bil 03/2018 di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga bercadang untuk memberi bonus kepada kakitangan LAP berdasarkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) pada masa akan datang.

Sementara itu mengulas lebih lanjut mengenai prestasi LAP, Ahmad Faizal berkata, selain mencatatkan peningkatan jualan air, LAP juga berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM57.03 juta sehingga 31 Oktober 2018 berbanding RM56.70 juta bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 0.6 peratus.

"Selain itu, bilangan akaun pengguna juga bertambah dari 770,545 pada 31 Oktober 2017 kepada 786,271 bagi tempoh sama tahun ini di mana sebanyak 15,726 akaun baharu berjaya dibuka.

"Kita juga berjaya menurunkan hampir satu peratus pembaziran air di mana hampir RM3 juta kos dapat dijimatkan dengan kejayaan ini," katanya.

Ahmad Faizal turut mengumumkan LAP juga telah membelanjakan sebanyak RM10.2 juta bagi pelaksanaan bantuan subsidi air bermula 2008 hingga 26 November tahun ini melibatkan 11,555 keluarga.

"Daripada jumlah itu sebanyak RM238,000 adalah merupakan tambahan lima meter padu air percuma mulai 1 Ogos sehingga 26 November tahun ini.

"LAP juga telah membelanjakan RM1.92 juta bagi program penurunan tarif air melalui pemberian diskaun kepada semua pengguna domestik mulai 1 Ogos hingga 26 November 2018," katanya.