PARIT BUNTAR - Pas Kawasan Parit Buntar menyifatkan keputusan melantik dua pemimpin politik negeri Perak bagi jawatan Penasihat Khas Menteri Besar Perak baru-baru ini sebagai suatu pembaziran wang kerajaan negeri.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan itu, Abu Bakar Hussain berkata, pihaknya melihat pelantikan Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan yang terbaharu, Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail menggalas jawatan bertaraf Exco itu bukan satu keperluan mendesak dan bertindih dengan portfolio Exco dilantik.

Menurutnya, dalam situasi kewangan negeri dilaporkan tidak begitu baik, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu tidak perlu meramaikan penasihat khas beliau, sebaliknya cukup dengan pelantikan pegawai khas sedia ada.

“Tindakan menambahkan lagi pegawai khas bererti menambahkan lagi bebanan kewangan serta peruntukan kerajaan negeri apatah lagi jika elaun itu setaraf dengan jawatan Exco Kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri diingatkan supaya kembali kepada slogan berbelanja secara berhemah, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini,” katanya pada sidang media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pas kawasan Parit Buntar di Markas Pas Titi Serong, di sini hari ini.

Majlis dihadiri lebih 3,000 pengunjung itu turut disertai YDP Pas kawasan Parit Buntar, Abdul Bahrin Md Desa dan Naib YDP Pas kawasan, Ahmad Azhar Sharin.

Abu Bakar berkata, Pas kawasan Parit Buntar melihat pelantikan kedua pemimpin politik tersebut bagi jawatan Penasihat Khas Menteri Besar Perak hanya lebih sekadar usaha hendak mengambil hati rakan parti politik serta imbuhan sokong kerajaan Harapan.

Menurutnya, segala tindakan pelantikan dibuat dianggap percaturan politik tidak matang kerajaan Harapan yang boleh merugikan kewangan negeri.

“Mengapa tidak dua pemimpin politik berkenaan ditawarkan sahaja jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau lain-lain jawatan yang difikirkan tidak memerlukan peruntukan besar kerajaan?

“Tidakkah tindakan penawaran jawatan Penasihat Khas MB bertaraf Exco tidak lebih sekadar imbuhan timbal balas bagi memenuhi agenda politik kerajaan negeri Harapan, yang akhirnya memberi bebanan kewangan kepada rakyat yang membayar cukai?”