IPOH - Tindakan seorang lelaki menjadikan  sebuah lori sebagai  tempat menyimpan gas petroleum cecair (LPG) dan diletakkan di bahu jalan di Tapah memakan diri apabila dia diserbu cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak, Selasa lalu.

Menurut kenyataan KPDNHEP, lelaki berumur 22 tahun itu mengaku sebagai pemilik lori tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati dia mempunyai lesen runcit LPG yang sah serta mempunyai stor di kawasan berhampiran.

"Siasatan awal mendapati lori itu dijadikan stor simpanan dan diletakkan di bahu jalan kawasan perumahan tersebut dan bukan disimpan di stor simpanan LPG yang mempunyai lesen/kebenaran sah daripada KPDNHEP," demikian menurut KPDNHEP Perak semalam.

Kenyataan itu menyebut, lelaki berkenaan mengaku menjadikan bahu jalan kawasan tersebut sebagai tempat meletakkan lori memandangkan stor simpanan yang sah telah ditamatkan sewaan dan kegiatan tersebut dipercayai dijalankan sejak dua bulan lalu.

Menurut kenyataan itu, hasil serbuan sebanyak 97 tong LPG pelbagai jenama dengan berat keseluruhan 1,318 kilogram bernilai RM17,264 dirampas.

Sementara itu, sebanyak 15 kes melibatkan barang kawalan LPG dengan rampasan bernilai RM337,082 dicatatkan di Perak bagi tempoh Januari 2017 hingga 5 Julai lalu. - Bernama