IPOH - [DIKEMASKINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tapah menyita 236 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam satu operasi pada Isnin lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd Ziyad Ismail berkata, risikan telah dibuat selama dua minggu di sekitar Tapah hasil aduan orang awam wujudnya aktiviti penyelewengan barang kawalan LPG bersubsidi disimpan di stor premis yang tidak dilesenkan.

Beliau berkata, dalam operasi terbabit, seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan pemilik stor simpanan itu turut ditahan.

"Berat keseluruhan LPG yang dirampas sebanyak 2,312 kg dan kita turut menyita sebuah kenderaan (lori) dilokasi tersebut.

"Tindakan kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan sebanyak RM31,272 melibatkan RM23,272 bagi LPG manakala RM8,000 pula untuk lori.

Sementara itu, Mohd Ziyad berkata, sejak Januari 2017 sehingga 12 November 2018 sebanyak lima kes berlaku bagi kesalahan melibatkan barang kawalan LPG dengan nilai rampasan berjumlah RM125,230.

"KPDNHEP memandang serius terhadap mana-mana  urusniaga atau apa-apa aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa terlebih dahulu mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

"Kita juga memberi amaran kepada semua pemegang lesen sama ada borong atau runcit supaya tidak bersekongkol atau bersubahat didalam sebarang aktiviti penyelewengan bahan petroleum bersubsidi kerana tindakan undang-undang yang lebih tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat," katanya.