IPOH - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming diminta menarik diri daripada jawatan Ahli Panel Penasihat Ekonomi Negeri Perak susulan pemimpin itu dikaitkan dengan dakwaan menerima derma pilihanraya daripada seorang taikun perniagaan pada PRU14.

Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, saranan itu penting bagi memastikan jawatankuasa Panel Penasihat Ekonomi Negeri Perak dilihat bebas daripada sebarang pengaruh politik sehingga akhirnya menguntungkan pihak tertentu.

Menurutnya, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat perlu menyatakan pendirian sama ada kenyataan awal ditulis taikun tersebut, Koon Yew Yin dalam entry blognya sebelum dipadamkan kemudiannya adalah satu perkara sahih atau sebaliknya.

"Dakwaan dikemukakan taikun perniagaan itu sangat serius dan terdapat sejumlah amaun wang dinyatakan dalam entri blognya yang didakwa disalurkan bukan sahaja kepada Kor Ming, namun beberapa pemimpin kerajaan PH lain.

"Kor Ming sepatutnya menarik dari daripada menggalas jawatan Ahli Panel Penasihat Ekonomi Negeri Perak supaya panel itu bebas daripada pengaruh politik," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Saarani turut menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) membuka kertas siasatan ke atas Kor Ming dan beberapa pemimpin PH yang disebut Yew Yin dalam kenyataan entri blognya sebelum ini.

Menurutnya, dakwaan dikemukakan adalah sangat serius dan boleh memberi kesan negatif terhadap hala tuju pentadbiran kerajaan negeri Perak sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

Sebelum ini, dalam tulisan bertajuk 'Bagaimana Nga Kor Ming membenarkan Menteri Besar Perak mengeluarkan Koon dari Majlis Penasihat' yang sudah dipadamkan dalam entry blog peribadi beliau bertarikh 5 November, Yew Yin mengakui memberi sumbangan sebanyak RM200,000 kepada Kor Ming.

Melalui entri blog itu, Yew Yin menjelaskan pemberian wang tersebut adalah sebagai balasan kepada janji PH Perak untuk melantiknya sebagai penasihat ekonomi negeri Perak dan beliau kecewa apabila akhirnya tidak dilantik ke jawatan tersebut.

Yew Yin turut mengaku menyumbang ratusan ribu ringgit kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan sebagai balasan jawatan penasihat ekonomi negeri Perak yang dijanjikan kepadanya.

Selepas memadamkan artikel terbabit, Yew Yin kemudiannya menulis artikel baharu bertajuk 'Permohonan maaf Koon kepada Nga Kor Ming' pada 6 November.