IPOH - Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dun Perak yang baharu menggantikan S Thangeswary yang dilantik pada penggal sebelum ini.

Nama Koo Ham dicadangkan Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari kemudian disokong Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Pelantikan Koo Ham dibuat menerusi proses pengiraan undi, setelah beliau mendapat 31 undi menewaskan calon dari Pas yang memperoleh tiga undi manakala calon dari BN hanya memperoleh 25 undi.

Terdahulu BN dan Pas turut mencadangkan calon masing-masing sebagai Speaker Dun Perak.

Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria dari Pas mencadangkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki sebagai Speaker Dun yang turut disokong Adun Selama, Mohd Akmal Kamaruddin.

Manakalah Adun Bota, Khairil Shahril Mohamed dari BN pula mencadangkan bekas Timbalan Speaker, Datuk Nasaruddin Hashim sebagai Speaker dan disokong Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud

Sementara itu, Adun Behrang, Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai Timbalan Speaker Dun Perak selepas menjadi calon tunggal jawatan itu.

Selepas lantikan tersebut dibuat, semua wakil rakyat mengangkat sumpah jawatan sebagai Adun di hadapan Koo Ham.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan diikuti Exco-exco Kerajaan Negeri dan Adun-Adun lain.

KEMASKINI