TAIPING – Majikan yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) bakal berdepan dengan hukuman lebih berat termasuk dibekukan aset dan sebat.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya telah bertemu dengan Ketua Hakim Negara bagi membincangkan isu ini.

“Institusi kehakiman telah menyatakan kesediaan untuk mengenakan tindakan tegas termasuk hukuman sebat terhadap majikan yang masih berdegil.

“Kita sudah tidak boleh berkompromi lagi dan kami telah menahan 272 majikan yang didapati telah melakukan kesalahan itu di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai 39 pegawai dan anggota jabatan itu dalam Op Ikrar di sekitar Taiping dan Kamunting, di sini, semalam.

Menurutnya, majikan yang melindungi Pati boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dikenakan denda sehingga RM5,000.

Pada masa sama, beliau turut meminta kerjasama majikan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pantau rumah kongsi yang abaikan aspek keselamatan.

Katanya, lebih 100 warga asing berdepan risiko kehilangan nyawa apabila rumah kongsi mereka dibina di tingkat bawah bangunan masih dalam pembinaan.

“Kami mengambil berat akan aspek keselamatan pekerja asing di negara ini dan kita terkejut apabila mereka tinggal di tingkat bawah yang diwujudkan oleh pemaju.

“Kerjasama daripada majikan dan PBT diperlukan bagi memantau keadaan ini. Kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini dan ramai pihak akan dipersalahkan,” katanya.

Sementara itu, seramai 139 warga asing telah diperiksa termasuk seorang bayi warga Rohingya berusia sebulan di sebuah rumah kongsi di Taman Lake View, di sini.

Mustafar berkata, hanya 45 pati termasuk enam wanita dan dua kanak-kanak warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

“Pemeriksaan mendapati mereka bukan sahaja tidak mempunyai dokumen malah, ada yang lari dari majikan asal serta menyalahgunakan pas.

“Kita  tak lagi berkompromi akan perkara ini bagi memastikan negara bersih daripada Pati dan sehingga kelmarin, 11,500 Pati telah ditahan dalam Op Ikrar yang dilaksanakan,” katanya.

Katanya, kesemua Pati berkenaan dibawa ke Depot Tahanan Langkap, Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Hasrat 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal mereka melalui jalan tikus tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam serbuan Ops Landai di Kota Tinggi, petang semalam.
  • KOTA BHARU - Perjalanan pulang 14 Pati Warga Myanmar yang dibawa penyeludup ke kawasan Kampung Siram, Pasir Mas terbantut selepas kesemua mereka yang bersembunyi dalam semak, ditahan sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan.
  • IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun antara 32 individu yang ditahan Jabatan Imigresen Perak dalam operasi penguatkuasaan pendatang asing tanpa izin (Pati) di enam lokasi sekitar kawasan Parit Buntar dan Semanggol, kelmarin.
  • IPOH - Sepasang suami isteri serta seorang anak lelaki mereka antara 32 orang yang ditahan Jabatan Imigresen Perak dalam Operasi Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di enam lokasi berasingan sekitar Parit Buntar dan Semanggol dekat sini selama dua hari mulai semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.