BAGAN SERAI - [DIKEMASKINI] Ketua Penerangan Pas Perak, Wan Ahmad Tarmizi Abd Aziz meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Allahyarham yang berusia 53 tahun juga merupakan calon Pas bagi kerusi Dun Alor Pongsu pada PRU14 lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Allahyarham Wan Ahmad Tarmizi dimasukkan pada ke hospital itu, 2 Jun lalu akibat serangan jantung.

Menurutnya, sebelum ini, Allahyarham sudah beberapa kali mengalami serangan jantung termasuk selepas berakhir PRU14 apabila beliau menerima rawatan di hospital sama selama sebulan.

"Pas Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian tokoh pemimpin parti yang sangat berpengaruh itu.

"Kehilangan beliau pastinya merupakan satu kerugian besar kepada Pas Perak berikutan peranan penting dimainkan Allahyarham dalam memperolehi sokongan guru Kafa di seluruh Perak melalui peranannya sebagai Presiden Persatuan Guru Kafa Perak sebelum ini," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh anak termasuk lima anak lelaki.

Razman berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di Desa Tanjung Murni, Chemor dan dikebumikan selepas solat Isyak.

Pada PRU14, Dun Alor Pongsu kekal menjadi milik BN melalui penyandangnya, Datuk Sham Mat Sahat menerusi pertembungan tiga penjuru.