GARA-GARA ‘ketagihan’ membeli pelbagai album muzik daripada pelbagai artis tempatan dan luar negara, seorang pekerja swasta tidak kisah menghabiskan ratusan ribu ringgit bagi mengumpul lebih 300,000 koleksi peranti itu sejak 30 tahun lalu.

Lebih mengejutkan, kesemua koleksi peranti perakam lagu dimiliki Ismail Hashim, 47, sama ada berbentuk kaset, cakera padat, piring hitam atau ‘EP’, kini memenuhi segenap ruang rumah keluarganya di Kampung Sungai Bakau, Parit Buntar dan rumahnya di Butterworth, Pulau Pinang.

Meminati bidang muzik sejak kecil, Ismail mengakui dia mula membeli apa jua bentuk peranti perakam lagu yang memuatkan album artis tempatan dan luar negara sejak berusia 16 tahun.

Menurutnya, nilai semasa keseluruhan koleksi kaset, cakera padat, piring hitam atau ‘EP’ pelbagai artis tempatan dan luar negara dikumpulkannya sudah mencecah hampir RM500,000.

"Saya mula ‘gian’ mengumpul koleksi kaset album artis tempatan dan artis rock sejak di bangku sekolah, malah sanggup membuat kerja sambilan semata-mata memenuhi hobi sendiri.

“Bermula dengan kaset album dari penyanyi Bob Rezal, Dato’ Shake, Nassier Wahab dan Ben Nathan, saya mula teruja kumpul koleksi album dari mana-mana artis tempatan yang muncul pada tahun 70-an hingga kini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Bakau, semalam.

Belanja RM1,500 hingga RM2,000 sebulan

Ismail berkata, sehingga tahun 1992, dia sudah mengumpulkan koleksi kaset melibatkan lebih 600 album artis tempatan termasuk sebilangan artis-artis yang kurang dikenali pada masa kini.

Menurutnya, kegilaan mengumpul koleksi album artis tempatan dan luar negara diperhebat apabila peranti perakam lagu berbentuk cakera padat sudah mula diperkenalkan sekitar tahun 90-an.

“Lebih menarik, saya sudah mula mengumpul koleksi album artis tempatan dan luar negara berbentuk cakera padat seawal tahun 1990, meskipun belum lagi memiliki pemain peranti itu.

“Ketika itu, harga bagi satu pemain peranti cakera padat bernilai lebih RM2,000, sebagai remaja yang baru menceburi alam pekerjaan, harga itu pastinya di luar kemampuan saya.

“Namun, keadaan itu tidak menghalang saya mengumpul koleksi album artis berbentuk cakera padat bermula dengan album penyanyi Ibnor Reza bertajuk ‘Sudah Terluka Merindu Pula’,” katanya.

Ismail berkata, kegilaannya mengumpul koleksi muzik album artis tempatan dan luar negara menyebabkan dia terpaksa membelanjakan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan bagi mendapatkan koleksi album rare melalui laman sosial.

Menurutnya, bermula tahun 2000, minatnya dalam mengumpul koleksi album muzik diperluaskan kepada bentuk piring hitam dan ‘EP’ setelah mendapati irama melalui piring hitam bunyinya lebih gemersik.

“Pada tahun 2004, saya mampu kumpul pelbagai koleksi album artis tempatan dan luar negara dalam pelbagai bentuk peranti perakam muzik lebih 100,000 unit.

“Kini dengan bantuan laman media sosial, saya mula kenali beberapa kumpulan pengumpul seni muzik yang mempunyai minat seperti saya dan hasil perkongsian maklumat membolehkan saya mendapatkan lebih banyak koleksi album muzik rare,” katanya.

Dilantik penasihat syarikat rakaman

Meskipun minat luar biasanya itu pernah diperlekehkan dan dianggap satu pembaziran wang, Ismail sentiasa percaya kesemua koleksi album muzik dikumpulkan bakal menjadi khazanah seni muzik bernilai pada masa hadapan.

Buktinya, Ismail kini dilantik sebagai penasihat kepada beberapa syarikat rakaman muzik terkemuka seperti Warner Music Malaysia untuk mencadangkan pengeluaran semula album-album artis tempatan yang popular bagi memenuhi kehendak peminat muzik tanah air.

“Kebanyakan album artis tempatan dikeluarkan suatu ketika dahulu tidak boleh didapati dalam bentuk piring hitam, jadi syarikat akan meminta cadangan album artis mana yang bakal mendapat sambutan peminat sekiranya dikeluarkan semula.

“Saya akan membantu membekalkan lagu-lagu format cakera padat dan material audio album asli dari cetakan pertama artis yang diminta syarikat rakaman.

“Sehingga kini, saya sudah membantu menyumbang material audio melibatkan lebih 20 album artis tempatan terkemuka untuk dicetak semula,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata, terdapat artis tempatan malah syarikat rakaman muzik sendiri meminta bantuan bagi mendapatkan semula koleksi album pernah dikeluarkan mereka sama ada dalam bentuk kaset, cakera padat dan sebagainya.

“Situasi ini agak melucukan apabila terdapat beberapa artis tempatan sekitar tahun 70-an dan 80-an yang menghubungi saya meminta bantuan mendapatkan koleksi album asal mereka sendiri disebabkan tidak lagi menyimpannya.

"Selain itu, ada juga wakil syarikat rakaman muzik dan individu persendirian yang sanggup menawarkan puluhan ribu ringgit kepada saya semata-mata bagi mendapatkan koleksi album asli penyanyi diminati yang kini amat sukar ditemui di pasaran terbuka,” katanya.

Beli peranti muzik asli

Tidak cukup dengan hobi ‘luar biasa’, Ismail juga ada tabiat unik apabila hampir 40 peratus koleksi album muzik meliputi pelbagai bentuk peranti masih tersimpan dalam plastik dan belum pernah dibuka.

Lebih menarik, ada di antara peranti album muzik disimpan tidak pernah dibuka Ismail sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kadangkala saya rasa sayang untuk membuka plastik membalut koleksi album muzik dibeli, walaupun untuk mendengarnya,” katanya.

Di sebalik ketagihannya terhadap koleksi album muzik artis tempatan dan luar negara, Ismail sentiasa mengingatkan dirinya untuk membeli peranti muzik yang asli dan bukan berbentuk cetak rompak.

Menurutnya, industri hiburan tanah air memerlukan sokongan padu peminat dalam menolak pembelian sebarang material muzik berbentuk cetak rompak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Hanya dalam tempoh setahun, seorang pesara tentera sudah mampu memiliki lebih 300 koloni kelulut selepas bersara dalam dunia ketenteraan.
  • BANDARAYA MELAKA - Seorang wanita sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata kerana minatnya yang mendalam mengumpul barangan kecil atau ‘miniature’.
  • JOHOR BAHRU - Kerana hobi dan minat yang mendalam, seorang pegawai sistem maklumat sanggup berbelanja demi mendapatkan koleksi sampul duit raya yang jarang ditemui dan mempunyai nilai tersendiri.
  • SEPERTI mana minat terhadap motosikal dan kereta klasik masih wujud, begitu juga minat terhadap basikal klasik yang dahulunya pernah menjadi pengangkutan utama.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.