IPOH – Siasatan masih dijalankan pihak polis berhubung kes pergaduhan melibatkan Pegawai Imigresen dan anggota polis yang ditularkan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sehingga kini polis telah merakam enam percakapan termasuk pengadu serta beberapa orang saksi,  Pegawai Imigresen dan anggota polis berkenaan.

Menurutnya,  pengadu telah membuat laporan di Balai Polis Tanjung Rambutan pada 11 September lalu menyatakan dia dipukul beberapa lelaki Melalyu dan antara mereka adalah Pegawai Imigresen dan anggota polis berpangkat Koperal dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

“Melalui laporan itu, pengadu yang juga Setiausaha Persatuan Taman Putra Indah menegur saspek iaitu Pegawai Imigresen (ahli Persatuan Silat Wariss Gayung)  tentang rasa tidak puas hati penduduk mengenai gelanggang silat persatuan itu yang terabai, usang dan dipenuhi sampah.

“Tidak senang dengan teguran itu, saspek telah memanggil beberapa rakannya ke rumah pengadu dengan mengugut akan membakar rumah dan menembak pengadu,” katanya.

Chang Keong berkata, semasa pengadu keluar rumah untuk berbincang masalah tersebut, dia ditumbuk serta ditendang seluruh badan secara tiba-tiba sehingga badan dan kakinya mengalami lebam.

Tegasnya, pihak polis menafikan dakwaan bahawa polis tidak mengambil tindakan kerana pengadu hanya datang memberi percakapan pada petang 13 September iaitu dua hari selepas laporan dibuat setelah menerima rawatan di Hospital Raja Permasiduri Bainun (HRPB).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.