SUNGAI SIPUT – Hampir 30 peserta di Felda Lasah yang sebelum ini mencari pendapatan melalui hasil getah dan sawit terpaksa berehat dalam tempoh dua minggu bagi memberi laluan proses pemindahan gajah berjalan lancar.

Lokasi kebun getah dan sawit berukuran 1,520 hektar itu kini ‘dikuarantin’ sebagai lokasi penempatan sementara lapan ekor gajah yang berjaya ditangkap anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Perak, sejak 11 Mei lalu.

Seorang penduduk, Ramli Shaari, 40, berkata, mereka akur dengan larangan yang dikeluarkan jabatan atas faktor keselamatan.

Menurutnya, meskipun tahu getah dan sawit menjadi punca pendapatan penduduk, namun dalam keadaan itu, keselamatan dan nyawa lebih menjadi keutamaan.

“Ya, dah lebih seminggu saya tak pergi menoreh, ada juga rasa kurang duit tu, tapi nak buat macam mana, nyawa lebih penting, saya pun takut nak ke kebun.

“Lagipun proses ni tak lama, lepas habis semua gajah dipindahkan, kita boleh mulakan semula rutin macam biasa,” katanya.

Bagi Jamaluddin Mohd Nor, 39, pula, sepanjang 13 tahun menjalankan kerja menoreh di kebunnya, tidak pernah dia terserempak dengan haiwan berkenaan.

Katanya, daripada maklumat pekebun lain, kumpulan gajah yang berkeliaran di kawasan itu tidak pernah mengancam keselamatan, hanya merosakkan tanaman.

“Prinsip mudah sahaja, kita jangan kacau mereka, jadi gajah-gajah ni tak lah kacau kita.

“Bila dah banyak yang kena tangkap, perasaan tu legalah sedikit, kasihan juga kepada pekebun lain, tanaman mereka rosak,” katanya.


Jamaluddin berkata, pernah beberapa kali dia menemui buah durian dalam kebun getahnya, dipercayai dibawa oleh gajah berkenaan.

Sementara itu, Adun Lintang, Datuk Zolkafly Harun memaklumkan, pihaknya sedang merangka pelan pemberian bantuan ‘one-off’ kepada peserta yang tidak dapat menjalankan kerja di kebun masing-masing.

Menurutnya, bantuan itu akan diuruskan dalam waktu terdekat sebagai sumbangan ehsan.

Ditanya mengenai tahap serangan gajah di kawasan ini, beliau memaklumkan, setakat ini, tiada gangguan serius diterima.

“Tiga hingga 4 tahun lalu ada, selepas itu senyap seketika dan kemudian ada semula, tapi kita ercaya ia hanya melibatkan kehilangan pendapatan penduduk sahaja.

“Jadi kita akan lakukan tindakan segera untuk sampaikan bantuan ini, terima kasih kepada anggota Perhilitan yang sentiasa peka terhadap isu penduduk,” katanya.

Mengulas lanjut, Zolkafly berkata, kumpulan gajah berkenaan berkemungkinan datang dari Hutan Simpan Piah, Kuala Kangsar.

“Hanya terdapat satu gerak kerja pembukaan ladang sawit iaitu di Kampung Baung seluas 5,000 ekar, ia terletak lebih 15 kilometer dari kawasan ini.

“Selepas ini, meskipun kumpulan gajah ini sudah ditangkap, pengawasan akan terus dilakukan dari masa ke semasa,” katanya.