PREMIS jual kerang rebus dan bakar banyak dibuka, jadi identiti unik penduduk Kerian bila Ramadan

Setiap kali tibanya Ramadan, penduduk daerah Kerian akan teruja menikmati hidangan istimewa iaitu kerang rebus dan bakar.

Hidangan kerang rebus atau bakar yang enak dicicah dengan kuah kacang, seakan-akan menjadi identiti unik penduduk daerah ini sehingga turut menggamit kehadiran pengunjung dari kawasan lain.

Hidangan yang turut disajikan bersama beraneka jenis siput kebiasaannya mula ditawarkan peniaga bermula selepas waktu berbuka puasa sehingga waktu tengah malam.

Di daerah Kerian, kewujudan premis menjual kerang rebus dan bakar pada bulan puasa kebiasaannya tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Di premis Warung Udang Lipan di Parit Haji Wahab di sini, pengunjung bukan setakat boleh menikmati hidangan kerang atau siput, malah pengenalan menu unik terbaharu dipanggil kerang teppanyaki yang menggabungkan beraneka jenis siput dan kerang dengan sos teppanyaki istimewa.

Pengusahanya, Azman Ibrahim, 54, berkata, inisiatif memperkenalkan menu istimewa berasaskan kerang itu timbul setelah mendapati masyarakat kini gemar menikmati hidangan ala shellout.

Menurutnya, fenomena makan kerang dan siput memang menjadi trend penduduk di sini sejak lebih 30 tahun lalu.

“Asalnya pengusaha kerang rebus dan bakar berniaga bulan puasa tak ramai, namun setelah menjadi trend popular penduduk, bilangan premis menjual bertambah.

“Atas faktor tu, saya perkenalkan menu istimewa kerang teppanyaki sebagai satu kelainan.

“Syukur Alhamdulillah, sambutan menggalakkan, malah menjadi satu hidangan wajib pengunjung,” katanya ketika ditemui di premisnya di Kampung Parit Haji Wahab, di sini, kelmarin.

Kuah kacang dapat pengiktirafan

Azman berkata, pengunjung berpeluang mencuba beraneka jenis siput dan kerang yang dihidangkan dengan pelbagai cara masakan.

Menurutnya, setakat ini, lapan jenis siput dan kerang boleh didapati di premisnya seperti kerang liar, kerang bulu, siput sudu, siput gerudi, siput gerumit, siput unam, siput kepah dan paling istimewa siput tiram.

“Premis kami diserbu tidak kurang 1,000 pengunjung setiap hari. Kami perlukan sekurang-kurangnya 300 kilogram kerang dan 150 kilogram beraneka jenis siput setiap hari bagi memenuhi keperluan pelanggan bermula jam 7 malam hingga 2 pagi,” katanya.

Selain itu, Azman turut mendedahkan teknik membakar kerang atau siput dengan menggunakan dapur arang berasaskan batu-bata bagi meningkatkan kualiti rasa.

"Selain cara bakar kerang, kuah kacang adalah resipi keluarga saya.

"Kuah kacang kami juga pernah dapat pengiktirafan Malaysia Guinness Book of Record pada tahun 2007 sebagai kuah kacang paling berkualiti,” katanya yang mengusahakan premis itu bersama anaknya, Amzar Azman, 27.

Azman berkata, harga ditawarkan amat berpatutan, bermula dari harga sekilogram RM20 hingga RM60 bergantung menu hidangan.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Negeri Sembilan, Nazif Faiz, 28, mengakui akan singgah makan kerang di premis Warung Udang Lipan sekurang-kurangnya dua kali seminggu bersama keluarga.

“Kuah kacangnya cukup istimewa. Udang lipan juga menyelerakan,” katanya.

Nur Natasya Syaffira Mohd Amir, 19, pula berkata, pengalaman menikmati hidangan kerang rebus segar pada waktu malam amat menyeronokkan dengan harga ditawarkan juga berpatutan.

Gerai diserbu lepas solat tarawih

Seorang lagi pengusaha kerang rebus, Osman Sarip 51, atau lebih mesra disapa sebagai Man Kerang berkata, setiap hari, pelanggan akan memenuhi premisnya di Simpang Tiga, Kuala Kurau sebaik sahaja gerainya dibuka kira-kira 8.30 malam hingga 2 pagi.

Menurutnya, gerainya juga menjadi tumpuan selepas solat tarawih iaitu antara jam 9.30 hingga 10 malam.

“Kerang rebus digerai saya dicicah dengan kuah kacang yang dicampur rasa manis dan pedas,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.