KAMPAR - Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap sebuah syarikat yang dikesan menjalankan aktiviti perlombongan haram di Kampung Sahom.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, tindakan itu bagi menjaga kebajikan penduduk setempat serta kelestarian alam sekitar yang dikesan menerima impak hasil kegiatan dilakukan di situ sejak lebih setahun lalu.

"Ini bergantung kepada laporan penuh yang akan kita terima daripada jabatan dan agensi berkaitan.

"Daripada apa yang kita lihat, gambarannya jelas kegiatan ini mengancam dan melanggar syarat yang menyebabkan sungai tercemar dan menjejaskan sumber kehidupan penduduk," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak perlombongan, hari ini.

5 Ogos lalu, lebih 100 penduduk kampung  mengadakan bantahan terhadap kegiatan perlombongan yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai.

Aktiviti didakwa dilakukan secara haram itu juga dikaitkan dengan perlombongan emas.

Aktiviti perlombongan dihentikan selepas menerima arahan kerajaan negeri.

Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengesahkan sama ada mineral digali adalah emas.

Setakat ini, pihaknya belum dapat mengesahkan sumber sebenar mineral terbabit kerana masih diuji jabatan berkenaan.

"Sama ada emas atau tidak, itu kena tunggu hasil laporan, tapi apa yang boleh saya katakan pastinya ia bahan yang berharga.

"Cumanya syarikat ini melakukan tanpa mengikut prosedur dan tidak memiliki lesen bagi aktiviti perlombongan," katanya.

Abdul Aziz berkata, notis henti kegiatan perlombongan telah diberikan dan didapati syarikat berkenaan mematuhi arahan dikeluarkan.

Dalam pada itu, Pegawai Tanah dan Daerah Kampar, Khairul Anwar Ramli berkata, permit yang dikeluarkan jabatan hanyalah berkaitan kerja pemindahan bahan batu untuk pembinaan jalan kebun sebanyak 2,500 metrik tan.

"Ia juga bukan untuk dibawa keluar dari kawasan ini, setelah pemeriksaan dilakukan, kita dapati aktiviti perlombongan ini menyalahi syarat lesen, satu notis pemberhentian dikeluarkan 1 Ogos lalu," katanya.