KUALA KANGSAR – Semua Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), wakil rakyat, penyelaras Dewan Undangan Negeri serta agensi kerajaan di negeri ini telah diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, persiapan itu perlu dilakukan bagi membolehkan mangsa dipindahkan segera apabila banjir berlaku dan bantuan daripada setiap agensi amat diperlukan untuk membantu mangsa.

"Pejabat daerah juga diberikan peruntukan kecemasan jika berlaku banjir," katanya selepas merasmikan Karninal Bijak Pra Sekolah peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai banjir yang melanda Kampung Batu 7, 8 dan 9 di Changkat Jong dekat sini ekoran air Sungai Bidor melimpah akibat hujan lebat dan menyebabkan kira-kira 164 orang daripada  46 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Pusat bersetuju menambah 50 lagi renjer bagi menjaga Taman Negeri Royal Belum di Gerik yang mana renjer yang bertugas mengawal taman itu ketika ini adalah seramai seramai 12 orang.

"Kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk mendapatkan hasil tanpa perlu menebang pokok di kawasan itu. Kita perlu menjana sedikit pendapatan untuk dana bagi menjaga taman negeri yang luasnya lebih empat kali ganda dari Singapura," katanya.

Ahmad Faizal juga mengalu-alukan cadangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menjadikan Taman Negeri Royal Belum diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Katanya, dengan pengiktirafan itu ia  akan membuka mata pengunjung seluruh dunia untuk melawat kawasan tersebut.

"Sekarang ini kita dapat menjana pendapatan apabila orang ramai dikenakan bayaran RM5  bagi pengunjung tempatan dan RM20 bagi pengunjung luar,” katanya. - Bernama