IPOH – Kerajaan negeri akan menaikkan kadar pinjaman kepada pelajar khususnya di institut pengajian tinggi (IPT) demi memastikan golongan itu mendapat kemudahan pembelajaran terbaik.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, peningkatan itu selaras  peningkatan kos sara hidup masa kini.

Malah menurutnya, pihaknya juga akan menyemak semula kadar pinjaman yang perlukan  diberikan pada sesi bajet depan.

“Komitmen kerajaan negeri di bawah pentadbiran baharu adalah untuk melihat kemajuan pelajar yang memasuki IPT dan universiti. Oleh itu, kita akan naikkan sedikit kadar pinjaman.

“Bagaimanapun, kita dalam peringkat peralihan. Oleh itu, harap kurangnya pembaziaran dan ketirisan, Insya-ALLAH, kita boleh buat.

“Kalau tak semua mungkin separuh  kita boleh salurkan ke tabung pendidikan tinggi, mudah sahaja,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media setelah menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, petang tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

Difahamkan, pinjaman itu menawarkan pembiayaan dalam bentuk pinjaman khusus kepada anak Perak yang berhasrat menyambung pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan juga doktor falsafah.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap Yayasan Perak dapat mempermudahkan urusan pelajar mendapat kemudahan pembiayaan pengajian berkenaan.

“Kita harap Yayasan Perak tingkatkan usaha untuk pelajar dari Perak untuk mudahkan mereka belajar.

“Kita dah mulakan amalan sebegitu dengan memberikan insentif kepada pelajar supaya belajar lebih rajin. Kita tak ada sasaran dan kita akan tengok kewangan kita,” katanya.