IPOH – Kerajaan Perak menzahirkan komitmen tinggi untuk membantu Pusat Pendidikan Al Barakah yang ketika ini berdepan kekangan kewangan dalam menguruskan pengoperasiannya.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata,  pihaknya akan berbincang dengan pengurusan pusat itu untuk mengenalpasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat berkenaan terus beroperasi seperti biasa.

“Kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai kekangan dana yang dihadapi oleh pihak pengurusan sehinggalah isu dilaporkan media dan tular di media sosial.

“Bagaimanapun, saya komited untuk membantu Pusat Pendidikan Al Barakah demi kepentingan pelajar dan kakitangannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyambut baik keputusan Datuk Mohd Kazim Elias untuk menangguhkan cadangan penjualan unit Tahfiz Al-Quran itu sementara menunggu perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Ini satu keputusan yang betul demi kemashlahatan ummah yang mendapat manfaat daripada aktiviti pengajian Islam di pusat berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Ahmad Faizal menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengeluarkan arahan agar  Mohd Kazim dihalang daripada berceramah.

Katanya, mesej yang tular di media sosial itu dianggap satu tindakan tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan lagi keadaan.