IPOH - Projek pembinaan jambatan bernilai RM418 juta yang menghubungkan daerah Bagan Datuk dan Perak Tengah telah dibatalkan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, beliau dimaklumkan Kementerian Kewangan bahawa projek yang sepatutnya siap pada 23 Julai 2020 tidak diluluskan untuk diteruskan.

“Projek jambatan dari pekan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop itu mula dilaksanakan pada 3 Julai tahun lalu merupakan sebahagian projek Rancangan Malaysia Ke-11.

“Setakat ini, projek itu sudah berjalan sebanyak 15.86 peratus berbanding dijadualkan sepatutnya pada tahap 17.87 peratus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas surat yang tular dalam media sosial yang memaklumkan mengenai projek berkenaan untuk tidak diteruskan.

Menurutnya, pihaknya akan membuat semakan dan berbincang semula dengan pihak kementerian mengenai projek itu selepas pemasangan cerucuk dalam Sungai Perak sudah dilakukan.

Sebelum PRU14, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beberapa projek yang menjadi fokus pembangunan di Bagan Datuk se­iring dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN5O) dengan peruntukan berjumlah RM2.3 bilion.