TAIPING - Gara-gara kes keracunan makanan, kesemua pelajar Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) Taiping dipercayai diarahkan pulang ke rumah masing-masing oleh pengurusan sekolah sejak tengahari tadi.

Sinar Harian difahamkan kes keracunan makanan yang berlarutan sejak semalam melibatkan sejumlah 29 pelajar MRSM itu, terdiri daripada pelajar tingkatan Empat dan Lima

Seorang pelajar tingkatan 4 sekolah itu sewaktu ditemui berkata, kesemua pelajar MRSM Taiping dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengahari tadi.

Bagaimanapun, hanya sebahagian pelajar sekolah yang tinggal berjauhan atau mempunyai komitmen program sekolah dibenarkan tinggal di asrama.

"Sejak malam tadi, terdapat ramai pelajar sekolah yang mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan kelesuan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

"Ada juga kawan saya yang mengalami keracunan makanan, bagaimanapun punca sebenar kes itu saya tidak pasti,"katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di pekarangan pintu masuk MRSM Taiping, di sini petang tadi.

Seorang lagi pelajar Tingkatan Lima sekolah itu berkata, dia dimaklumkan jumlah keseluruhan pelajar MRSM Taiping disyaki mengalami kes keracunan makanan mencecah 29 orang.

Pelajar yang enggan mendedahkan identitinya itu tidak menolak kemungkinan punca kes itu disebabkan pelajar terlibat memakan juadah soto dihidangkan di dewan makan.

"Sejak beberapa hari lalu, hanya beberapa pelajar mengalami keracunan makanan, namun malam tadi (semalam) ramai yang dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

"Kebanyakan rakan-rakan memaklumkan mereka mengalami keracunan makanan selepas memakan hidangan soto di dewan makan," katanya.

Pelajar terbabit yang berasal dari Selangor berkata, mana-mana pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah akan dibekalkan makanan luar oleh guru-guru sekolah terbabit.

Sementara itu, seorang waris pelajar MRSM Taiping berkata, pihaknya menerima panggilan pihak sekolah mengenai arahan pelajar sekolah itu pulang ke rumah masing-masing pada tengahari ini.

Menurutnya, pihak sekolah turut memaklumkan arahan itu disebabkan masalah kes keracunan makanan yang dialami pelajar MRSM Taiping sejak semalam.

"Berikutan itu, saya terpaksa hadir ke sekolah dari Bagan Serai untuk membawa pulang adik yang kini merupakan pelajar Tingkatan Empat sekolah itu.

"Sehingga kini, saya tidak dimaklumkan tarikh semua pelajar terbabit diminta kembali semula ke sekolah oleh pengurusan maktab itu," katanya.

Sehingga jam 5 petang, terdapat banyak kenderaan ibu bapa yang parkir di pekarangan pintu masuk MRSM Taiping bagi membawa pulang anak masing-masing.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan Negeri, A Sivanesan sewaktu dihubungi mengesahkan menerima laporan kes keracunan makanan melibatkan sebahagian pelajar MRSM Taiping pada pagi ini.

Menurutnya, proses penyiasatan dan langkah kawalan pencegahan penyakit itu masih giat dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama.

"Setakat ini, maklumat mengenai jumlah sebenar pelajar terlibat kes keracunan dan punca kejadian masih belum diperolehi.

"Laporan awal kes ini akan disiapkan selewat-lewatnya hari ini.

"Apapun, pihak jabatan kesihatan memberi jaminan masalah kes keracunan makanan itu masih terkawal dan tidak serius,"katanya.

Sivanesan berkata, pihaknya turut dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak sudah mengambil sampel makanan dari dewan makan sekolah terbabit bagi mengetahui punca sebenar kes.