KUALA SEPETANG – Penduduk Dun Kuala Sepetang diminta menghormati keputusan PRU14 lalu dengan hati terbuka tanpa sebarang tuduhan yang merosakkan proses demokrasi berlangsung.

Adun Kuala Sepetang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar berkata, kemenangan dan kekalahan calon bertanding adalah satu proses dalam pilihan raya yang dilakukan secara telus.

“Tidak timbul isu taktik kotor mahupun penipuan, jika ada pasti sudah akan ada tindakan.

“Pada saya, mereka ini tidak faham dan tidak boleh menerima keputusan PRU14 dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan lebih 3,000 tandatangan yang berjaya dikumpul sebagai tanda sokongan kepada bekas Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling untuk terus berkhidmat di kawasan itu.

Pada PRU14 lalu, Yee Ling gagal mempertahankan kerusi Dun berkenaan apabila tewas dengan majoriti 329 undi.

Mohd Kamaruddin berkata, tindakan dilakukan itu jelas tidak menghormati keputusan peti undi di Dun Kuala Sepetang.

“Dun Kuala Sepetang bukan hanya melibatkan Pekan Kuala Sepetang semata-mata, saya berharap mereka dapat menerima hakikat yang sebenarnya,” katanya.