KAMPUNG GAJAH- Roh perjuangan Umno harus dikembalikan semula seperti mana ketika awal penubuhan parti itu bagi memastikan ia mampu memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin berkata, disebabkan pemimpin Umno gagal menjiwai dan mewarisi semangat perjuangan orang terdahulu yang sanggup berkorban segalanya menjadi antara faktor parti itu tumbang pada PRU 14 lalu.

Menurutnya, terdapat budaya tertentu di dalam kepimpinan Umno yang sedikit sebanyak telah merosakkan Umno.

“Jika pemimpin terdahulu sanggup berkorban apa sahaja untuk menubuhkan Umno hingga ada yang memberi derma dan sebagainya namun perkara itu berubah tahun demi tahun.

“Budaya sekarang sudah berubah di mana bukan lagi bangga memberi khidmat kepada parti tapi apa yang aku boleh dapat dan perkara ini harus diubah kembali.

“Kita mahukan satu pasukan dari kalangan generasi baru berkhidmat ikhlas memberi sumbangan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau berkata, Umno perlu dilihat sebagai satu parti yang benar-benar ikhlas berjuang untuk orang Melayu dan agama Islam.

“Walaupun banyak slogan ini diperdengarkan namun ia tidak diterjemahkan hingga ke akar umbi.

“Umno dilihat gagal menjiwai aspirasi dan kehendak rakyat  dan selalunya kita dengar masalah di peringkat akar umbi pastu kita block (tutup), di peringkat atasan kita cakap pasal benda lain. Ini yang banyak kali berlaku,” katanya.

Faizal berkata, menjelang PRU 15, Umno harus lebih mendekati golongan muda dan pucuk pimpinan akan datang perlu melihat bagaimana mahu melaksanakan perkara itu.