IPOH - Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ) yang diuruskan Yayasan Bina Upaya  (YBU) sebelum ini tidak akan diteruskan oleh kerajaan negeri.

Exco Kerajaan negeri, Asmuni Awi berkata, program KB1AJ dimansuhkan untuk digantikan dengan program yang lebih praktikal iaitu pemberian kad kesihatan dan makanan.

Katanya, melalui kad kesihatan dan makanan itu, golongan miskin dapat terus membeli barangan keperluan di kedai yang dilantik untuk program ini.

"Menteri besar akan melancarkan program ini dalam masa dua atau tiga minggu lagi sebelum Bajet pada bulan 11 nanti.

"Kita sedang perhalusi dan terima beberapa cadangan beberapa pihak dari segi pelaksanaannya serta jumlah sebulan dan setahun yang akan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Students Exam Kits 2018 anjuran Yayasan Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan bahawa fungsi YBU dalam membasmi kemiskinan di negeri ini akan diserap ke dalam Yayasan Perak.

[ARTIKEL BERKAITAN: YBU diserap ke Yayasan Perak]

Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni berkata, Yayasan Perak akan meneruskan beberapa program pembasmian kemiskinan sebelum ini seperti bantuan rumah, skim mikrokredit dan sebagainya.

Katanya, selain itu, bantuan pendidikan yang dilaksanakan Yayasan Perak juga akan terus diperkasakan melalui beberapa program seperti Students Exam Kits, Back To Schools dan beberapa program lain.

"Walaupun program ini dilihat kecil tetapi ini merupakan usaha Yayasan Perak untuk mengeratkan hubungan dengan pelajar, guru-guru dan pihak sekolah.

"Insya-ALLAH, program-program ini akan diperluaskan lagi ke seluruh Perak pada tahun hadapan," katanya.