MANJUNG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyarankan agar pendedahan mengenai skop kerja keanggotaan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan sejak peringkat sekolah bagi menarik penglibatan wanita dalam pasukan itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah anggota wanita dalam pasukan penyelamat ketika ini adalah masih rendah iaitu seramai 600 orang, kira-kira lima peratus daripada 14,000 anggota di seluruh negara.

Menurutnya, jumlah itu masih jauh daripada peratus piawaian standard antarabangsa yang telah dipersetujui negara iaitu pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di setiap peringkat.

“Kita memandang serius perkara ini, bagi saya tidaklah sukar untuk menambah anggota wanita, cumanya mereka kurang faham mengenai skop kerja dan beranggapan ia satu tugas berisiko dan berbahaya, sedangkan masih banyak lagi peranan dapat dimainkan anggota wanita dalam pasukan ini.

“Jadi boleh diusahakan agar pendedahan mengenai skop kerja pasukan bomba dibuat di peringkat sekolah, selain kaunseling kerjaya untuk menerangkan tugas bomba,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja di Balai  Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis.

Zuraida turut mencadangkan, satu latihan khusus diwujudkan untuk anggota bomba wanita bagi membolehkan penglibatan mereka dalam misi menyelamat membabitkan bencana dan tragedi.

Katanya, latihan yang dicadangkan itu nanti, boleh menjurus ke arah proses menyantuni mangsa tragedi di lokasi kejadian yang berdepan dengan ketakutan dan trauma.

“Untuk memanjat tiang atau menggunakan hos air yang biasa dilakukan anggota lelaki, mungkin tak sesuai untuk wanita, namun ada perkara yang memerlukan kelebihan kumpulan ini iaitu dalam menyantuni keluarga dan mangsa. Proses ini juga merupakan satu bahagian penting dalam aspek pengurusan bencana,” katanya.

Dalam majlis itu, Zuraida turut menyampaikan wang pampasan berjumlah hampir RM100,000 kepada keluarga Allahyarham Azaman Abdul Azis, anggota balai Ipoh yang meninggal dunia ketika bertugas.

Wang berkenaan sumbangan daripada Kumpulan Wang Kebajikan Bomba;  insurans berkelompok perlindungan khas anggota juga bantuan khairat kematian sebagai penjawat awam.