IPOH - Mengayuh basikal setiap hari antara rahsia seorang warga emas kekal sihat sehingga kini.

Pesara hospital, Damsuri Mohamed, 81, berkata, dia bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik dalam usia seperti itu malah masih boleh mengingat dengan baik.

Katanya, tiada petua tertentu yang diamalkan malah dari segi pemakanan juga seperti orang lain.

"Saya makan macam biasa, malam pun kadang-kadang makan nasi. Cuma setiap hari saya akan berbasikal keliling kampung.

"Alhamdulillah, setakat tak ada sakit kronik. Jantung pun sihat dan saya selalu pergi periksa kesihatan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas ditemui menjadi peserta paling tua Cabaran Kayuhan Spin Cycle Tanpa Henti anjuran Hospital Pantai Ipoh di kompleks membeli belah Aeon Klebang, di sini.

Damsuri yang mempunyai enam anak berkata, walaupun merasakan diri masih sihat pemeriksaan kesihatan kerap dilakukan.

Sementara itu, Cabaran Kayuhan Spin Cycle Tanpa Henti berjaya mencatat sejarah di dalam Malaysia Book of Records bagi acara melibatkan kayuhan tanpa henti paling rama melibatkan 108 warga emas berusia 55 tahun ke atas.

Hadir sama pada program itu, Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong; Pengurus Pusat Membeli Belah Aeon Klebang, Maziah Mat dan Pengurus Pejabat The Malaysia Book of Records, Lee Poi Leng.