IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mengesan terdapatkan aktiviti pemalsuan Sijil Perakuan Bomba dan Sijil Perakuan Alat Pemadam Api oleh sesetengah individu bagi meraih keuntungan segera.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, individu terbabit mengaku sebagai orang tengah menyasarkan pemilik premis dan mencetak sendiri sijil kononnya telah diperakui oleh bomba untuk alat-alat mencegah kebakaran berkenaan.

"Perbuatan itu berjaya dikesan dalam satu pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran apabila sijil perakuan yang dipaparkan tiada dalam rekod pihak kami.

"Malah, individu terbabit turut mengaut keuntungan apabila mengenakan bayaran hingga mencecah ratusan ringgit sedangkan caj yang sepatutnya bagi setiap alat hanya RM5 sahaja," katanya dalam sidang media pada Perhimpunan Bulanan September di Ibu Pejabat JBPM Perak, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menjalankan kolaborasi siasatan bersama polis bagi menyelesaikan kes berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Seorang lelaki berjaya di tuduh di Mahkamah Tapah, bulan lalu kerana memalsukan dokumen dan kes ini boleh dijadikan pengajaran kepada pihak lain yang cuba ambil kesempatan.

"Mereka yang menggunakan khidmat ejen bagi mendapatkan sijil berkenaan perlu memastikan ejen terbabit berdaftar dengan bomba dan merujuk sijil berkenaan kepada pihak kita terlebih dahulu," katanya.