BAGAN SERAI - Bagi kebanyakan golongan belia, bidang keusahawanan adalah merupakan satu bidang digeruni untuk diceburi di mana mereka lebih memilih bekerja makan gaji yang kurang berisiko untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ramai belia yang enggan mengambil risiko memulakan sesuatu bidang perniagaan yang dianggap mereka sebagai sesuatu yang tidak stabil dan mencabar.

Namun, cabaran itu bukan sahaja tidak mengugat minat tauke katering jelita, Siti Hazar Elias,22, untuk meluaskan sayap perniagaan keluarga yang diusahakan sejak 17 tahun lalu, malah kini butik pengantin dan perniagaan produk 'popia cheese' yang baru dipasarkan ternyata mendapat sambutan pelanggan.

Lebih mengejutkan, pemilik syarikat Hazar Catering dan Bridal Enterprise itu boleh dianggap individu serba boleh apabila turut membuka operasi restoran cendol dan nasi ayam di hadapan rumahnya di Telok Medan, di sini sehingga menjadi tumpuan peminat makanan sekitar daerah Kerian.

Jiwa lebih minat bisnes

Beroperasi di Batu 14, Teluk Medan, di sini, Siti Hazar mengakui kewujudan lebih 30 butik pengantin dan 50 syarikat katering di sekitar daerah Kerian sememangnya memberi persaingan sengit kepadanya untuk terus maju.

Menurutnya, pelbagai rintangan ditempuhi oleh Siti Hazar yang pernah menerima pendidikan kulinari di sebuah kolej terkemuka ibu kota sebelum menapakkan diri sebagai salah satu tokoh usahawan belia paling berjaya di daerah Kerian.

Siti Hazar (lima, kiri) bersama bapanya Elias Sarkawi (enam, kiri) dan kakitangan pengurusan Hazar Katering yang diusahakan keluarga sejak 17 tahun lalu.

"Pada mulanya, selepas tamat pengajian, saya memutuskan untuk membantu keluarga menjalankan perniagaan katering, namun lama kelamaan saya melihat minat dan kebolehan saya ke arah bidang kecantikan dan butik pengantin.

"Dari situ, saya tekad membuka sebuah butik pengantin hasil sokongan keluarga dan alhamdulillah, perniagaan diusahakan 'meletop'.

"Rezeki saya tidak terhenti setakat itu sahaja apabila saya terus membulatkan azam mengusahakan sebuah restoran cendol dan nasi ayam. Syukur kepada Allah SWT kerana perniagaan baharu diceburi turut mendapat sambutan menggalakkan,"katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Tekad bantu bisnes keluarga setelah hampir gagal

Siti Hazar berkata, di sebalik kejayaan dicapai ketika ini, dia pernah melalui detik suram dan hampir putus asa untuk menceburi bidang perniagaan apabila bisnes katering keluarga hampir gagal kerana ditipu bekas rakan niaga.

Menurutnya, ayahnya, Elias Sarkawi pernah ditipu sehingga RM65,000 oleh rakan kongsi sendiri sewaktu menguruskan sebuah majlis perkahwinan dan situasi itu hampir membuatkan mereka gulung tikar.

"Melihat ayah terpaksa meminjam Ah Long sebanyak RM60,000 bagi memulihkan bisnes diusahakan, saya rasa sedih dan hampir putus asa terhadap bidang perniagaan kerana menganggap ianya sesuatu yang menyusahkan.

"Namun, setelah menyaksikan ayah dan ibu berjaya bangkit memulihkan bisnes katering diusahakan berkat kesabaran dan kecekalan diri mereka, saya bulat tekad untuk membantu perniagaan keluarga dengan keringat sendiri tanpa mengharapkan orang luar.

""Kini, nama Hazar Catering dan Bridal Enterprise bukan sahaja menjadi sebutan penduduk negeri Perak, Pulau Pinang dan Kedah, malah tahun 2018 sahaja kami sudah menerima lebih 70 tempahan servis katering dan pakej busana pengantin,"katanya.

Pakej katering, butik pengantin murah tarikan pelanggan

Siti Hazar berkata, bagi setiap pakej katering dan butik pengantin, pelanggan ditawarkan harga pakej termurah di pasaran tempatan samping penambahan menu sajian masakan tradisional istimewa masyarakat Banjar seperti ayam masak samah dan wadai kipeng.

"Selain itu, saya dan ibu, Susilawati Abdul Rashid,42, memastikan setiap menu sajian, dekorasi khemah pengantin dan set makan beradab disediakan dalam keadaan terbaik demi memastikan majlis keramaian pelanggan menjadi sesuatu diingati.

"Bagi butik pengantin, lebih 200 rekaan fesyen busana pengantin dan pelamin bukan sahaja menjadi perhatian pelanggan, malah turut membantu meningkatkan kadar tempahan perkhidmatan katering,"katanya.

Restoran cendol, produk popia cheese taruhan terbaharu

Tidak berpuas hati dengan kejayaan sedia ada, Siti Hazar bertekad melebarkan sayap perniagaan dalam bidang pengurusan restoran dan penyediaan produk popia cheese.

Hasilnya tidak menghampakan apabila operasi restoran ternyata mendapat sambutan menggalakkan pelanggan, terutama pelanggan setia yang amat meminati hidang cendol istimewanya.

Siti Hazar (kiri) bersama adiknya, Nurul Syafiqah bangga mempamerkan produk popia cheese yang baru diusahakan mereka dan mendapat sambutan hangat penduduk setempat.

"Bagi perniagaan produk popia cheese pula, saya tidak menyangka produk yang dihasilkan secara 'suka-suka' bersama adik, Nurul Syafiqah,17, diminati penduduk kampung dan kanak-kanak sekolah.

"Dengan jualan kos hanya rm8 bagi sebalang kuih itu, sekurang-kurang 200 balang terpaksa disediakan setiap hari bagi memenuhi permintaan pasaran,"katanya.

Belia perlu berani amik risiko berniaga

Di sebalik pelbagai kejayaan dikecapi, Siti Hazar masih mengamalkan resam padi, semakin tunduk semakin berisi memandangkan kunci utama kejayaan dalam bidang perniagaan adalah kemampuan berkomunikasi dan penyampaian kualiti perkhidmatan kelas pertama kepada pelanggan.

Beliau turut menggalakkan golongan belia di Perak untuk memberanikan diri menceburi bidang keusahawanan yang lebih memberi pulangan keuntungan lebih lumayan jika kena pada caranya.

"Asas berniaga bukan hanya sekadar bergantung kepada kualiti produk dijual, tetapi pelanggan juga mengambil kira kualiti penyampaian perkhidmatan, kaedah mempromosi bisnes lebih kreatif serta komitmen peniaga terhadap pertanyaan mereka.

"Harapan saya pada masa hadapan adalah saya berharap kesemua bisnes diusahakan akan terus maju sehingga menjadi sebuah syarikat katering dan pengurusan butik pengantin disegani di negara ini.

"Sebarang pertanyaan mengenai tempahan perkhidmatan katering dan pakej busana pengantin boleh hubungi saya di talian 017-5030 0010/ 017-486 9120,"katanya.