IPOH - PH dilihat seolah-olah gerun dengan kerjasama parti-parti pembangkang terutama antara Pas dan Umno ketika ini.

Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, hubungan baik antara Pas dan Umno tercetus atas dasar kesatuan parti pembangkang seperti PH sebelum menjadi kerajaan.

"Pas berjuang selama ini bukan untuk menjatuhkan Umno tetapi mahu memartabatkan Islam. Mereka sekarang terima agenda Islam. Kenapa nak bermusuh lagi? Kita akan bermusuh dengan sesiapa saja halang agenda Islam.

“Kini kamu pula yang sesak nafas terhadap agenda Islam yang kami bawa maka kamu pula musuh kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming yang menyifatkan kerjasama Pas dan Umno yang ditunjukkan pada PRK Seri Setia sebagai gabungan politik tidak berprinsip.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas-Umno gabungan politik tidak berprinsip]

Mohd Akmal berkata, kerjasama Pas dan Umno mungkin kelihatan pelik bagi mereka kerana Umno tidak pernah menjadi pembangkang.

"Bagaimanapun pemimpin PH tidak sedar dakwaan mereka bahawa Umno rosak sejak 60 itu sebahagian daripadanya berlaku ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali pertama dahulu.

Beliau berkata, Dr Mahathir mengetuai pakatan mereka pada hari ini dan disanjung tinggi.

“Kami tahu kerjasama antara Pas dan Umno ini amat menggerunkan kamu sebab itu kamu pula yang tentang kerjasama kami. Sepatutnya kamu sambut baiklah untuk semak dan imbang untuk kerajaanPH,” katanya.