TELUK INTAN - Tindakan pantas seorang kakak berusia lapan tahun menyelamatkan tiga adiknya dalam satu kebakaran di Kampung Attaduri, Langkap, kira-kira jam 2 pagi tadi wajar diberi pujian.

Tidak cukup daripada itu pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap ini juga turut menjerit mengejutkan jirannya yang sedang lena tidur sambil mendukung adik perempuannya berusia lapan bulan.

Nur Arisya Balqis Suhaili, ketika ditemui Sinar Harian menceritakan ketika kejadian dia dan tiga adiknya masing-masing berusia enam dan empat tahun serta lapan bulan sedang nyenyak tidur diruang tamu pada jam 2 pagi.

"Tiba-tiba Balqis rasa panas dan bau asap kuat lalu bangun dan lihat api sedang marak di dapur rumah dan masa itu hanya terfikir adik-adik sahaja.

"Balqis kemudiannya terus kejutkan adik-adik untuk bangun sebelum membawa mereka keluar dari rumah," katanya yang mesra dipanggil Balqis.

Menurut Balqis lagi, ketika sudah berada di luar rumah dia melihat api mula membakar rumah jirannya lalu berlari sambil mendukung adiknya yang masih kecil ke rumah sebelah.

"Balqis kemudian menjerit memanggil acik api! acik api! untuk mengejutkan mereka dan kemudian mereka buka pintu lalu masuk ke dalam sebelum keluar berlari ramai-ramai.

"Balqis buat semua ini sebab tidak mahu sesiapa pun cedera atau luka kena api yang terbakar," katanya.