TANJUNG MALIM - Dua lelaki ditahan selepas polis menjumpai 72 botol dipercayai mengandungi air ketum dalam kereta dipandu mereka dalam sekatan jalan raya di KM 10, Jalan Persekutuan Ipoh- Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang masing-masing berusia 26 serta 29 tahun.

Katanya, anggotanya melakukan pemeriksaan menjumpai enam bungkusan plastik dan setiap bungkusan mengandungi 12 botol air berisipadu 1.5 liter setiap satu, disyaki air ketum.

“Bungkusan yang mengandungi botol air disyaki berisi air ketum itu dijumpai di bahagian belakang kereta suspek.

“Anggota bertindak merampas kesemua bungkusan botol dan menahan kedua-dua suspek sebelum dibawa ke IPD Mualim untuk tindakan lanjut,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, siasatan awal  mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan buruh itu mendapatkan bekalan di Sungkai dipercayai untuk dijual di Ulu Slim dan Slim Village.

Katanya, pihaknya juga percaya, suspek menjual sebotol air dipercayai ketum itu RM15 dan jumlah rampasan RM1,080.

“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.