IPOH - Tujuh kertas siasatan akan dibuka manakala empat notis pematuhan dikeluarkan berhubung  pelbagai kesalahan sempena Operasi Pematuhan di lapan premis pihak Jabatan Tenaga Tenaga Kerja (JTK) Negeri Perak di sekitar Ipoh, semalam.

Pengarahnya JTK negeri, Ahmad Khusairi Lop Abd Rahman berkata, operasi itu secara keseluruhannya bertujuan mengesan serta mencegah sebarang pelanggaran undang-undang perburuhan yang cenderung dilakukan majikan.

Selain itu menurutnya, operasi berkenaan dibuat demi memastikan pekerja khususnya di sektor swasta mendapat hak serta perlindungan yang sewajarnya sebagaimana yang termaktub pada akta dan perundangan yang berkuatkuasa.

“Operasi ini dijalankan sebagai respons kepada pelbagai laporan ketidakpatuhan majikan yang diterima daripada pelbagai sumber seperti yang tular di media-media sosial, aduan orang ramai atau sumber-sumber lain.

“Operasi penguatkuasaan ini juga dijalankan ke seluruh Semenanjung Malaysia dan akan berlanjutan untuk satu tempoh masa yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini.

Difahamkan operasi yang bermula sekitar 10 pagi  itu turut disertai oleh seramai kakitangan serta pegawai JTK Negeri.

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan pada operasi berkenaan adalah seperti tidak mengambil bayaran elaun dalam perkiraan ORP, melebihi had 104 jam untuk kerja lebih masa (OT),  lewat bayar gaji serta pengurangan OT.

Dalam pada itu, Ahmad Khusairi berharap semua majikan mematuhi undang-undang serta akta sedia ada demi menjamin suasana pekerjaan yang baik dan harmoni.

“Perkara ini akan tunjuk kepada pelabur bahawa kita memberikan layanan yang baik kepada pekerja tempatan dan juga pekerja asing.

“Oleh itu, kita harap majikan mematuhi akta dan jika ada sebarang persoalan boleh datang terus kepada kita (JTK). Boleh tanya kita,” katanya.