IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan Hospital Seri Manjung telah mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan bedah siasat kes kematian seorang kadet Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ding Lay Ming berkata, mangsa dari kem Lumut yang meninggal dunia pada 19 Mei lalu telah dirujuk ke hospital berkenaan bagi bedah siasat.

Bagaimanapun menurutnya, waris yang tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan terbabit telah membuat aduan secara formal dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Ogos lalu.

"Susulan aduan itu, satu mesyuarat perbincangan antara pihak hospital dan waris telah

diaturkan, 6 September lepas untuk menjelaskan hasil bedah siasat dilakukan terhadap mangsa.

"Namun mesyuarat tersebut tidak dapat dijalankan dengan lancar apabila waris memohon peguam belanya hadir bersama semasa mesyuarat.

"Permintaan waris itu telah ditolak  berdasarkan SOP sedia ada yang tidak memerlukan pihak hospital mengadakan perbincangan dengan peguam luar," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan peguam bela melalui satu kenyataan yang diedar kepada media, semalam bahawa pihak hospital tidak memberi kerjasama berhubung isu terbabit.

Lay Ming berkata, pengurusan Hospital Seri Manjung dan Jabatan Kesihatan negeri sentiasa

bersedia membantu keluarga waris mendapatkan maklumat lanjut yang diperlukan.

"Perkara ini besar kemungkinan telah disalah faham oleh peguam bela," katanya.