BAGAN SERAI - Pas Perak mempersoalkan kerelevanan pelantikan jawatan Penasihat Khas  Menteri Besar Perak bertaraf Exco kepada dua pemimpin politik yang mengundang kontroversi dalam arena politik negeri Perak, baru-baru ini.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, keputusan terbaharu Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menawarkan pelantikan jawatan Penasihat Khas Menteri Besar kepada Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail pastinya mencetuskan tanda-tanya terhadap motif keperluannya.

Menurutnya, Pas Perak melihat pemberian jawatan berkenaan sekadar hendak menutup kebisingan pihak tertentu setelah tidak mendapat jawatan Speaker Dun Perak apabila calon PKR itu diminta menarik diri pada saat akhir bagi memberi laluan kepada calon DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

“Biasanya bila kita melantik seorang penasihat khas bertaraf Exco, pemimpin itu mesti mempunyai satu kepakaran dalam bidang tertentu.

“Namun dalam isu pelantikan Speaker Dun Perak, kita difahamkan pada permulaan Siti Aishah dicalonkan bagi jawatan itu, diarah menarik diri atas alasan kurang kemahiran berbahasa Inggeris.

“Bila didedahkan kelemahan itu, pastinya ada kekurangan pada kredibiliti calon itu dan apabila ia ditawarkan lantikan sebagai Penasihat Khas MB bertaraf Exco, Pas fikir keputusan itu satu cubaan menutup mulut pihak tertentu dengan memberi imbuhan timbal balas,” katanya kepada media pada program Rumah Terbuka Aidilfitri Adun Gunong Semanggol di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan Razman menyempurnakan perasmian pejabat Pusat Khidmat Adun Gunong Semanggol di sini.

Razman yang juga Adun Gunong Semanggol berkata, sekiranya kaedah pemberian imbuhan timbal balas diamalkan bagi memenuhi agenda politik kerajaan Harapan, tindakan itu tidak wajar dan tidak jauh beza dengan kaedah pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.

Menurutnya, pelantikan jawatan Penasihat Khas MB perlu ada alasan rasional dan isu sama turut dilihat terhadap keputusan pelantikan Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagi jawatan itu sebelum ini.

“Pas melihat pelantikan Zainol Fadzi bagi jawatan itu lebih kepada imbuhan timbal balas setelah pemimpin itu menyokong pembentukan kerajaan Harapan meskipun mewakili Umno dan BN sebelum ini.

“Hakikatnya apa kepakaran beliau sehingga wajar dilantik sebagai Penasihat Khas MB? Kalau cara pentadbiran sebegini diamalkan kerajaan Harapan, tiada guna rakyat mengubah kerajaan pada PRU14,” katanya.

Razman turut menyifatkan kerajaan Harapan sebagai kerajaan ‘salin kulit’ sahaja apabila hampir kesemua polisi pentadbiran diamalkan kerajaan BN terdahulu diteruskan, cuma diubah nama sahaja.

Terdahulu, majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Adun Gunong Semanggol yang diadakan di hadapan pejabat Pusat Khidmat Adun itu sangat meriah apabila dihadiri lebih 1,000 pengunjung.