IPOH – Jawatan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri ini ditamatkan serta-merta.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat, hari ini.

“Lantikan baharu bagi jawatan ini akan dibuat dalam masa terdekat melalui perbincangan di pihak PBT, sudah tentunya kita ambil kira pandangan rakan parti politik yang lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau berkata, ahli yang bermesyuarat turut membuat ketetapan bahawa semua jawatan ketua kampung serta ahli jawatankuasanya akan berakhir pada 30 Jun depan.

Menurutnya, dengan keputusan itu, Pejabat Daerah dan Pejabat Penghulu dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih tugas mengawal selia semua kemudahan awam termasuklah dewan orang ramai.

“Jawatan mereka akan diteruskan hingga 30 Jun ini dan setelah itu, serta-merta lantikan-lantikan baharu akan dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri kini sedang meneliti bidang tugas setiap agensi ditubuhkan kerajaan terdahulu, namun belum lagi membincangkan keperluan pembubarannya.

Katanya, dalam konteks penjawatan pula, ada antara mereka yang berada dalam pentadbiran tertinggi mengambil keputusan melepas jawatan manakala selebihnya mengambil keputusan bercuti.

“Tidak bermakna bila kita ambil alih kerajaan, maka kita kena hapuskan semua perkara, mana-mana agensi ditubuhkan pentadbiran terdahulu yang memberi manfaat, kita akan teruskan dan perbaiki seeloknya agar perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada rakyat.

“Ini termasuklah program-program biasa dianjurkan kerajaan negeri dahulu seperti Pangkor Dialog, sekiranya rakyat mahu program ilmiah ini diteruskan, apa salahnya, saya rasa tiada masalah kita kekalkan Pangkor itu kerana ia bukanlah bermakna dimiliki BN atau Harapan, tetapi menggambarkan Perak yang punya,” katanya.

Mengulas mengenai pengiktirafan Pangkor sebagai pulau bebas cukai, beliau berkata, setakat ini status berkenaan kekal seperti diumumkan sebelum ini.

“Kita belum terima apa-apa makluman terbaru berhubung perkara itu, pengiktirafan itu pun datangnya daripada kerajaan pusat jadi kita tunggulah kuasa dari pusat,” katanya.

Mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, beliau berkata, perkara itu telahpun dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Negera dan berkemungkinan pengumuman mengenai penjawatan itu dibuat pada Oktober depan.

Buat masa ini, tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dipangku Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal.