IPOH – Hajat seorang wanita membuang air kecil di semak berhampiran susur keluar Jalan Kuala Kangsar, Lebuh Raya Utara- Selatan di sini, bertukar tragedi apabila dia terjatuh ke dalam cenuram setinggi enam meter, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, mangsa bersama tiga yang lain termasuk seorang lelaki dalam perjalanan menuju ke Taiping berhenti di tepi lebuh raya berkenaan untuk selesaikan ‘urusannya’.

Wanita itu ditemani dua rakannya berjalan untuk mencari ‘port’ bersesuaian sambil memegang telefon bimbit sebelum disedari hilang.

Difahamkan, rakannya mencari mangsa sebelum ternampak cahaya dari telefon bimbit milik mangsa di bawah cenuram yang gelap itu.

Bagaimanapun, dua rakannya itu bertindak turun untuk menyelamatkannya tanpa mengetahui ia kawasan curam. Salah seorang sempat berpaut pada dahan pokok manakala, seorang lagi menerima nasib yang sama.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Mahir Mat Saad berkata, lapan anggota bersama dua jentera termasuk Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.57 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan ditempat kejadian mendapati wanita pertama yang terjatuh mengalami patah pada kaki kanannya menyebabkan dia sukar bergerak.

“Manakala, seorang lagi wanita hanya mengadu sakit belakang. Wanita yang sempat berpaut pada dahan pokok itu pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Anggota terpaksa menggunakan laluan di Taman Suria berhampiran tempat kejadian untuk mendapatkan kedua-dua mangsa terbabit,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa telah diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua mangsa dibawa keluar dengan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian. Operasi tamat kira-kira jam 6.35 pagi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :