IPOH - Anak keluarga pelarian perlu diberi layanan secara adil lagi saksama seperti kanak-kanak lain terutamanya untuk mendapat peluang pendidikan dan kemudahan rawatan kesihatan.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah, terdapat 150,000 pelarian dari Myanmar, Palestin, Syria, Yemen, Iran, Sri Lanka, Pakistan serta Afghanistan di negara ini dan hanya 30 peratus daripada 25,000 pelarian di bawah usia 18 tahun berpeluang mengikuti pelajaran di pusat-pusat pembelajaran komuniti.

“Masalah yang dihadapi oleh masyarakat pelarian berada di hadapan mata kita. Masalah itu tidak boleh dinafikan kewujudannya, lalu difikirkan pendekatan secara holistik dan bersepadu antara negara, pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, antara pelbagai agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.

“Tidak memadai sesebuah negara mempamerkan obligasi sifat kemanusiaan sekadar memberikan kebenaran kepada mereka untuk berteduh. Sifat kemanusiaan itu hendaklah disusuli dengan satu tanggungjawab bersama yang turut disokong oleh masyarakat yang memperlihatkan semangat belas ihsan, membenarkan, lalu membantu mereka membina hidup baharu secara bermaruah lagi terhormat," titahnya.

Tuanku bertitah pada Kongres ke-40 Persatuan Pediatrik Malaysia di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.

Baginda bertitah, selain pelarian, kanak-kanak terpinggir turut merangkumi anak-anak berlatar belakangkan sosio ekonomi miskin, tidak mempunyai status kewarganegaraan, tidak memiliki tempat berteduh, kurang upaya fizikal atau intelek serta yang mengidap penyakit kronik atau membawa maut.

"Masyarakat orang asal serta miskin bandar tergolong dalam kumpulan miskin tegar dan terpinggir yang paling tertekan. Begitu juga anggota masyarakat yang berada dalam kategori pendapatan empat puluh peratus terbawah.

"Masih banyak penambahbaikan yang perlu diterokai untuk menyediakan sokongan kepada anak-anak terpinggir dengan mengkaji dan dijadikan rujukan perkhidmatan-perkhidmatan yang berupaya  disediakan di negara-negara Organization for Economic Cooperation and Development (OECD), negara-negara yang memiliki Indeks Pembangunan Insan yang tinggi,” titahnya.