IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menasihatkan orang ramai menyalurkan sumbangan berhubung kejadian gempa bumi dan tsunami di Indonesia menerusi masjid atau saluran yang betul.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebimbangan itu berasas apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kejadian tersebut bagi meraih keuntungan sendiri.

"Saya bimbang ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan sama seperti sebelum ini. Kita hendak membantu saudara kita terutama dari negara jiran dengan menyampaikan sumbangan yang diperlukan.

"Saya mengingatkan orang ramai menghulurkan sumbangan mengikut saluran masjid atau agensi kerajaan berkaitan," katanya selepas menyerahkan sumbangan berjumlah RM46,330 kepada Tabung Bencana Nusantara Aman Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini, hari ini.

Mohd Yusop berkata, Tabung Bencana dan Kemanusiaan yang dilancarkan 5 Oktober lalu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat serta tanda sokongan kepada saudara seagama.

"Sumbangan ini dilakukan di lebih 600 masjid dan surau seluruh negeri menerusi Khutbah Jumaat. Tabung yang memasuki tahun ketiga ini dapat mengurangkan penderitaan sahabat dan rakan yang ditimpa musibah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Aman Palestin Perak, Shaharuzzaman Bistamam berkata, usaha baik dan inisiatif Jaipk itu dapat menambah keperluan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa bencana.

"Tabung Nusantara ini disediakan untuk membantu menghantar delegasi dan sumbangan di Lombok dan Palu, Indonesia.

"Kita menjalankan tugas dan tanggungjawab membantu meringankan penderitaan saudara kita dengan membantu apa yang terdaya," katanya.

Katanya, Aman Palestin juga telah membangunkan aplikasi 'Jom Menyumbang' bagi memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangkan.

Antara sumbangan yang diperlukan adalah keperluan asas seperti makanan serta khemah untuk dijadikan sekolah dan kediaman sementara kepada mangsa gempa dan tsunami.