IPOH – “Intan nak doa depan Kaabah, minta panjangkan umur Intan." Itu impian disuarakan Intan Liyana Aqilah Mahd Zaidi, 13.

Anak ketiga daripada empat adik beradik itu menghidap Limb Girdle Muscular Dystrophy sejenis penyakit yang berkaitan dengan otot serta boleh mempengaruhi organ dalaman tubuh yang lain sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk bergerak sendiri.

Dia berkata, walaupun sedih dengan keadaan dirinya, namun dia reda kerana ALLAH SWT memberikan ujian tersebut kepadanya.

“Makin lama, makin lemah dan kena jaga otot-otot dalaman dengan baik,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Klebang, semalam.

Menurutnya, niatnya untuk mengerjakan umrah bersama keluarga adalah untuk berdoa depan Kaabah supaya panjang umur serta sihat seperti biasa tanpa perlu menyusahkan ibunya, Maryani Awang, 46.

“Mak selalu tolong Intan kalau mak tak ada susahlah. Kalau mak kerja susahlah siapa nak tolong kat rumah, Intan nak pergi tandas macam mana,” katanya.

Intan Liyana Aqilah turut berhasrat untuk menolong dan membalas jasa ibunya jika dia sihat nanti.

“Intan juga ingin ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di sekolah yang selalu membantu serta guru yang mengajar Intan tanpa jemu,” katanya yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor.

Seperti remaja seusianya, dia juga meminati penyanyi remaja Aiman Tino dan berharap dapat bertemu dengan idolanya itu.

Berubah ketika usia dua tahun

Sementara itu, Maryani berkata, anaknya dilahirkan normal, namun pada usia dua tahun mereka sekeluarga melihat beberapa perubahan berlaku.

Katanya, penyakit itu menyerang kaki anaknya dulu sebelum merebak ke anggota badan lain dan muka. Masa peringkat awal anaknya juga mudah jatuh dan tidak kuat.

“Dia seorang kanak-kanak yang lincah tetapi pada tahun 2006 dia mula menunjukkan perubahan seperti tidak boleh bangun dengan selesa dan terpaksa merangkak menaiki tangga.

“Kami membawanya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan Gema Pengimejan Magnetik (MRI) sama ada terdapat jangkitan di otak.

“Alhamdulillah simptom dialaminya tiada kaitan dengan otak tetapi doktor suspek anak saya diserang penyakit otot. Kami ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menjalani ujian biopsi dan keputusannya positif. Selain itu, doktor memaklumkan penyakit ini tiada ubat,” jelasnya.

Bekas kerani di sebuah institusi kewangan di sini terpaksa berhenti kerja pada 2006 menjaga anaknya itu.

Dalam perkembangan sama, dia berkata, perubahan ketara yang berlaku adalah anaknya kini tidak boleh berjalan, berdiri dan menguruskan diri seratus peratus serta perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Akak berasa kecewa sebab kalau sakit ada ubat masih ada harapan, sedangkan anak akak dari segi perubatan tiada ubat.

“Doktor juga nasihatkan untuk pantau bahagian dalaman paru-paru abdomen. Kalau otot paru-paru lemah susah untuk oksigen sampai ke otak dan penyakit seperti demam batuk mudah menyerang,” katanya.

Dia berkata, anaknya turut membuat fisioterapi di Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selain menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan.

Perlu RM300 sebulan

Menurut Maryani, anaknya memerlukan perbelanjaan kira-kira RM300 setiap bulan bagi keperluan susu dan lampin pakai buang.

“Sehubungan itu, akak berharap dia dapat menggunakan kerusi roda bermotor bagi memudahkan pergerakannya memandangkan tangannya juga tidak kuat untuk bergerak.

“Setakat ini, dia menaiki kerusi roda biasa, namun jika bergerak dari satu tempat ke tempat lain, akak perlu mengangkatnya," katanya.

Katanya, kini dia sudah menerima sumbangan yang dikumpulkan oleh beberapa pihak sebanyak RM6,000 untuk membeli kerusi roda bermotor itu tetapi jumlahnya masih belum mencukupi.

“Harga untuk sebuah kerusi roda itu bernilai RM10,000 dan ke atas mengikut kesesuaian berat atau ringan. Jika ringan, harganya lebih mahal.

“Justeru, saya berharap orang ramai dapat membantu Intan supaya dia mudah untuk bergerak dan menikmati penggunaan kerusi roda itu,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.