IPOH - Exco Kerajaan Negeri, Abdul Aziz Bari menyifatkan insiden dirinya tidak dibenarkan masuk ke MRSM Taiping, baru-baru ini sebagai isu kecil.

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya ada menerima panggilan daripada Pengarah Mara Negeri berhubung insiden berkenaan dan mereka akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.

“Kita bukannya nak tunjuk kuasa kerana ia di bawah bidang kuasa Persekutuan. Tetapi walau sekolah mana, kolej mana pun, orang akan lihat kerajaan negeri, khususnya Exco pendidikan.

“Kita kena jawab perkara ini. Itulah yang menggerakkan saya untuk melawat ke tempat berkenaan,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media setelah menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak 2018 di Auditorium RTM, Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Mengulas mengenai keracunan yang berlaku di MRSM berkenaan, Abdul Aziz berkata, pihaknya masih belum mendapat pengesahan daripada jabatan kesihatan.

“Keracunan itu saya faham. Bukan sepertinya tindakan ketidakcekapan. Ia tak dapat dielakkan. Mungkin juga makanan dari luar.

“Belum dapat pengesahan daripada jabatan kesihatan. Ini bukan soal yang berlaku di kolej, kalau makan kenduri pun boleh kena keracunan,” katanya.