BAYAN LEPAS - Seorang lelaki maut ketika menikmati kuih yang dihidangkan kepadanya di sebuah rumah di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan mental itu disedari meninggal dunia oleh kakaknya kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan, wanita yang menyangka adiknya berusia 40 tahun itu tercekik kuih dimakan kemudian bertindak menghubungi polis memaklumkan kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya ke rumah mangsa selepas menerima laporan berkenaan.

"Kita ke rumah mangsa selepas terima laporan daripada seorang wanita mengatakan adiknya meninggal dunia kerana tercekik makanan.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat selepas kakitangan hospital mengesahkan kematiannya," katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dibuat kira-kira jam 1.30 petang doktor mengesahkan kematian mangsa disebabkan serangan jantung dan bukan tercekik kuih seperti yang disangka.

"Menurut doktor, walaupun kuih yang dibuat menggunakan pulut itu dijumpai semasa proses bedah siasat itu, namun ia bukan merupakan punca kematian mangsa dan tiada unsur jenayah dapat dikaitkan.

"Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.