• Pengusaha ikan bilis dan nelayan menunjukkan kawasan yang menjadi ancaman projek pembinaan di laut. Pengusaha ikan bilis dan nelayan menunjukkan kawasan yang menjadi ancaman projek pembinaan di laut.
1 /

LUMUT- Industri ikan bilis Pulau Pangkor mengalami kemerosotan berpunca daripada projek pembinaan dan pengorekkan dasar laut di kawasan yang kaya dengan hasil laut berkenaan.

Hasil tangkapan ikan bilis merosot sehingga 60 peratus disebabkan projek yang dijalankan di perairan terlibat.

Seorang pengusaha, Beh Cho Huat, 54, berkata, kerja pengorekkan laut itu menyebabkan lapisan selut terhasil dan keadaan itu mendatangkan masalah kepada nelayan.

“Ia menyebabkan pukat yang digunakan tersangkut pada selut itu dan ia akan koyak ataupun hilang,” katanya.

Tambahnya, kawasan yang dikorek itu adalah kawasan yang menjadi penyumbang terbesar hasil tangkapan ikan bilis di Pulau Pangkor.

“Bagi mengelakkan masalah berlarutan, dkami telah menghantar memorandum bantahan kepada menteri besar dan Ahli Parlimen Lumut supaya segera campur tangan dalam perkara ini.

“Kami mahu pihak berkenaan memastikan kerja pembinaan di perairan ini tidak menggangu ekosistem dan kawasan tangkapan ikan bilis,” katanya.

Chan Chin  Sock,61, pula berkata, sejak kerja pembinaan dijalankan di kawasan itu pendapatan nya turut merosot begitu ketara.

“Sebelum ini jumlah tangkapan purata yang mampu diperoleh ialah sebanyak 15 tan sebulan, namun kini hanya sekitar empat tan sahaja.

“Apa yang paling menyedihkan, ada kalanya kami terpaksa berputih mata kerana pulang dengan tangan kosong apabila pukat koyak tersangkut lumpur atau besi pembinaan di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu memastikan aktiviti pembinaan di perairan itu tidak menganggu aktiviti nelayan di situ.

Tekong bot ikan bilis,  S Jayakrishnan, 58, berkata daripada pengalaman bekerja di laut, kawasan itu akan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk kembali pulih seperti sedia kala.

“Saya berharap keadaan ini dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan mata pencarian kami," katanya.