BAGAN SERAI - Program Himpunan Kebangkitan Ummah Perak yang dicadangkan berlangsung di Masjid Al- Athar, Masjid Tinggi di sini pada 5 Oktober ini dijangka akan diteruskan di lokasi asal meskipun berdepan larangan kerajaan negeri.

Pemangku Yang Dipertua(YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Husin Din berkata, pihaknya dimaklumkan wakil penganjur bahawa sehingga kini tiada lagi sebarang keputusan untuk memindahkan lokasi program berkenaan ke tempat lain.

Husin Din

Menurutnya, penganjur yang merupakan NGO Himpunan Kebangkitan Ummah Perak turut memaklumkan sudah menghantar permohonan mendapatkan permit polis serta kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri Perak(Jaipk) demi tujuan murni itu.

"Mesyuarat diadakan bersama kami sebelum ini menetapkan program akan diteruskan di lokasi asal iaitu Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi.

"Cuma jika permohonan mendapatkan permit polis dan kebenaran Jaipk tidak lulus, barulah wakil penganjur akan memikirkan untuk pindah ke lokasi lain bersesuaian,"katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi mengarahkan semua program berunsurkan politik kepartian di masjid dan surau di negeri ini dihentikan semalam.

Asmuni turut meminta Jaipk mengeluarkan arahan kepada Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi di sini membatalkan rancangan penganjuran perhimpunan Himpunan Kebangkitan Ummah Perak pada 5 Oktober ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Batalkan program politik di masjid]

Husin berkata, sekiranya larangan kerajaan negeri dikuatkuasakan ke atas program tersebut, Pas kawasan menyifatkan pendekatan diamalkan kerajaan PH Perak dengan kerajaan BN terdahulu tiada beza dari aspek memberikan kebebasan bersuara.

Menurutnya, objektif perhimpunan itu adalah untuk memberi kesedaran kepada umat Islam dan kaum Melayu terhadap kepincangan kerajaan baharu PH dalam memartabatkan kedaulatan agama Islam dan hak istimewa kaum Melayu pada saat ini.

"Program ini bukan bersifat kepartian kerana pihak penganjur turut memanggil mana-mana NGO Melayu dan Islam di Perak untuk sama-sama berjuang memartabatkan agama dan bangsa yang semakin diperlekehkan pihak tertentu.

"Saya berharap kerajaan negeri bersifat terbuka dan tidak melihat agenda memartabatkan agama Islam dan memperkasakan orang Melayu sebagai satu agenda politik kepartian sehingga diarahkan disekat,"katanya.

Mengenai tentatif program himpunan dirancang, Husin berkata program himpunan akan dimulakan selepas solat Jumaat di mana seramai enam tokoh Islam seperti Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria akan memberikan ucapan kepada hadirin yang hadir.

"Terdahulu pada waktu pagi, satu persidangan meja bulat akan dianjurkan antara pihak penganjur dengan kesemua NGO Islam dan melayu yang hadir, termasuk beberapa NGO dari parti Umno.

"Kita berharap penganjuran himpunan seperti ini akan membangkitkan kesedaran dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu mengenai situasi sebenar status agama Islam, kaum Melayu dan institusi diraja pada ketika ini sedang diperkotak-katikkan pihak tidak bertanggungjawab,"katanya.