IPOH - Kenaikan harga barangan keperluan harian khususnya yang melibatkan cili merah serta sayuran tertentu hangat diperkatakan.

Justeru, kenaikan harga bagi barangan berkenaan di beberapa lokasi di seluruh negara telah mengakibatkan timbulnya rungutan dalam kalangan orang ramai.

Golongan peniaga pula memberi alasan harga bagi barangan berkenaan terpaksa dinaikkan kerana harga telah ditetapkan pemborong.

Dipercayai pihak pemborong telah menetapkan kadar harga berkenaan berikutan faktor cuaca yang tidak menentu di Malaysia pada hari ini.

Selain itu, pemborong turut memberikan alasan keadaan banjir yang berterusan di Thailand sejak beberapa bulan lalu mengakibatkan bekalan barangan berkenaan agak sukar diperoleh dan terpaksa menetapkan kadar harga sedemikian.

Sinar Harian sempat menemui segelintir warga bandar raya Ipoh bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung kenaikan harga bagi barangan berkenaan.

Kakitangan Kerajaan, Abd Ghafar Mohd Nusi, 58 berkata, memang didapati ada berlaku kenaikan pada harga barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran khususnya cili merah, cili padi dan cili hijau.

Menurutnya, kenaikan harga barangan berkenaan turut didapati mencecah hingga RM8 hingga RM12 sekilogram.

“Harga cili memang mahal sekarang tetapi bagi sayur-sayuran lain seperti bayam, kangkung, sawi dan sebagainya pula saya lihat harganya masih terkawal,” katanya.

Bagaimanapun, bagi, S.Sundram, 51, ketika ditemui berkata, kadar harga barangan berkenaan di Ipoh masih pada tahap terkawal dan tidak membebankan pengguna.

Menurut kakitangan swasta ini lagi, kenaikan harga barangan berkenaan mungkin disebabkan oleh faktor cuaca terutamanya pada musim hujan pada hari ini.

 “Tetapi sebagai pengguna kita seharusnya lebih berjimat ketika berbelanja bagi membeli barangan keperluan harian pada ketika kenaikan harga barangan berkenaan pada hari ini,” katanya.

Berbeza pula pendapat Anita Mohd Ariffin , 42, yang menganggap kenaikan harga ini adalah sesuatu yang wajar berdasarkan kepada faktor cuaca pada hari ini.

Katanya, kenaikan ini tak perlu dibesar-besarkan kerana ianya adalah satu perkara biasa yang berlaku kepada para petani atau peladang.

“Bagi saya, memang wajarlah harga barangan ini naik. Saya sendiri pernah bercucuk tanam suatu ketika dahulu dan memang faham akan masalah yang dihadapi oleh para petani terutamanya pada ketika musim hujan sebegini,” katanya.

Bagi peniaga, Mohd Anuar 57, berkata, memang berlaku kenaikan ketara pada barangan berkenaan khususnya cili api serta bawang besar.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tetap berkunjung ke pasar berkenaan bagi mendapatkan barangan keperluan harian tersebut.

“Harga barang-barang ini memang mahal sekarang. Cabai masak, cabai hijau semua naik harga. Kami ambil daripada pemborong pun harganya mahal.

“Oleh itu, kami terpaksa meletakkan harga tinggi kepada orang ramai. Bukan kami sengaja naikkan harga, tetapi keadaan semasanya memang begitu,” katanya lagi.

Pendapat itu dipersetujui seorang lagi peniaga, Mohd Saiful Abd Rashid, 25, yang mengatakan bahawa bekalan cili agak sukar untuk diperoleh.

Tegasnya, cili yang biasa di borong dari tanah tinggi Cameron Highlands juga mengalami kenaikan daripada RM12 hingga RM14 sekilogram.

“Harga bagi cili memang melambung tinggi pada hari ini. Apatah lagi, cili yang diambil dari kampung-kampung, lagilah mahal.

“Sebagai peniaga, saya agak sukar untuk dapatkan bekalan cili, sebab itu di gerai saya tidak banyak menjual cili sekarang,” katanya.